Graduan kurang soft skills

SAUDARA PENGARANG,

LEPASAN pengajian tinggi paling banyak menganggur di negara ini berbanding pihak yang hanya mendapat pendidikan menengah dan rendah. Malah, berbanding dengan kumpulan tiada pendidikan rasmi pun, graduan universiti masih ketinggalan daripada aspek pekerjaan!

Mengikut statistik pada separuh tahun pertama 2015, peratusan graduan menganggur adalah tertinggi iaitu 3.8 peratus, diikuti pendidikan menengah (3.3 peratus), golongan tiada pendidikan rasmi (dua peratus) dan pendidikan rendah mewakili 1.2 peratus.

Berbanding 2014, kadar pengangguran bagi golongan berpendidikan menengah dan tinggi meningkat 0.2 peratus, manakala kadar bagi golongan berpendidikan rendah kekal. Bagaimanapun kadar pengangguran bagi golongan tiada pendidikan rasmi menurun 0.9 peratus.

Kita pasti tertanya-tanya apakah yang dicari majikan jika kelayakan akademik bukan lagi ‘tiket’ lulus untuk diterima bekerja. Ini kerana majikan dilihat cenderung mencari bakal pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah tanpa perlu memberi latihan dalam perkhidmatan.

Kekurangan itulah yang menghalang graduan sedangkan kemahiran insaniah atau soft skills yang merangkumi segala kemahiran amat diperlukan dalam setiap individu yang bekerjaya ketika ini, selain kelayakan akademik.

Pada masa ini Malaysia menjadi tumpuan pelabur asing, secara tidak langsung situasi ini memerlukan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan fasih, tetapi juga secara lisan.

Penguasaan bahasa membolehkan pekerja melontarkan idea yang kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian perniagaan. Kemahiran lain diperlukan adalah kemampuan untuk menjadi pemimpin, bekerja dalam satu pasukan, cekap dalam pengurusan masa serta berfikiran kreatif dan kritis.

Biarpun tidak diberi jawatan tinggi, bakal pekerja harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran khususnya insaniah kerana kejayaan sesebuah syarikat amat bergantung kepada mereka. Kita tidak boleh menolak hakikat bahawa kemahiran insaniah mampu melahirkan graduan yang kompeten serta mampu mendepani masa depan dengan baik.

NURUL NAJIHAH MOHAMAD SHAHRIN

Sungai Besar, Selangor

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: