Adiguru pakar 
rujuk bahasa Melayu

Dr. Azian Tengku Syed Abdullah (lima dari kiri) bersama-sama 11

Dr. Azian Tengku Syed Abdullah (lima dari kiri) bersama-sama 11 Adiguru (barisan kedua dan ketiga) selepas Majlis Watikah Pelantikan Adiguru dan Pelancaran Buku IPGM di IPG Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kini mempunyai pakar rujuk bahasa Melayu kelahiran institut itu sendiri setanding kepakaran Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dikenali sebagai Adiguru.

Rektor IPGM, Dr. Azian Tengku Syed Abdullah berkata, inisiatif itu diambil bagi memperbanyakkan pakar rujuk bahasa Melayu dalam kalangan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) di seluruh negara.

“Oleh itu, seramai 54 pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGK diberikan kursus pemantapan tatabahasa di Kuala Lumpur dan menjalani proses pemilihan Adiguru IPGM melibatkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu menduduki Ujian Kecekapan Tatabahasa Adiguru, kemudian ujian kedua selepas kursus atau bengkel pemantapan dan peringkat terakhir adalah ujian pembentangan di hadapan panel penilai DBP.

“Daripada 54 pensyarah yang menjalani ujian, hanya 11 pensya­rah IPGM dari pelbagai kampus seluruh negara yang layak bergelar Adiguru pertama institut ini,” katanya dalam Majlis Watikah Pelantikan Adiguru dan Pelancaran Buku IPGM di IPGK Bahasa Melayu Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adiguru IPGM berperanan sebagai pembimbing dan pakar rujuk Bahasa Melayu dalam kalangan pensyarah, guru sekolah, pelajar dan masyarakat.

Azian menegaskan, pelantikan Adiguru amat besar ertinya dalam perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu selain mensasarkan Satu Adiguru Satu IPGK bagi tempoh 2016 hingga 2020.

“Adiguru IPGM akan menjadi panel dalam bengkel bahasa Mela­yu anjuran IPGM dan mengendalikan pelbagai aktiviti kebahasaan untuk meningkatkan mutu pengajaran pembelajaran bahasa Melayu di IPGK.

“Mereka juga akan membantu IPGM melaksanakan dan men­ja­ya­kan pelbagai aktiviti kebahasaan selain jadi pakar rujuk atau Panel Penilai Modul dan Ringkasan Maklumat Kursus,” jelasnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: