Kebimbangan Jiao Zong tidak berasas – ATMA

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Junaini Kasdan. – Foto Owee Ah Chun

BANGI: Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) takut tidak berasas apabila mengaitkan bahasa Melayu sebagai faktor yang akan menghakis identiti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaini Kasdan, berkata ketakutan Jiao Zong itu bukan saja tidak berasas, malah akan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini. “Jika ketakutan itu disebabkan soalan mengenai penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh di semua sekolah, saya melihat ia bukan isu apatah lagi peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dalam Dasar Bahasa Kebangsaan sendiri memang jelas. “Itu tugas bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai warga negara, mereka perlu mengikutinya,” katanya kepada BH selepas Wacana ATMA Arkeologi Maritim di Perairan Malaysia: Penemuan Kapal Karam Purba di Perairan Pulau Bidong, di sini hari ini. Beliau mengulas laporan sebuah akhbar Inggeris mengenai gesaan Jiao Zong yang meminta masyarakat Cina memberi maklum balas dalam kaji selidik dalam talian dilakukan Kementerian Pendidikan sejak 22 Ogos lalu. Jiao Zong dilaporkan tidak bersetuju dengan Kaji Selidik Untuk Pelan Hala Tuju 5 Tahun Perpaduan dalam Pendidikan itu yang dilakukan bagi mengumpul pendapat awam mengenai pembentukan dasar berkaitan perpaduan di sekolah untuk tempoh lima tahun akan datang. Mereka menyifatkan kaji selidik itu akan memberi impak negatif kepada SJKC, terutama dua daripada 15 soalan yang dikemukakan, termasuk sama ada bahasa Melayu dapat membantu membina persekitaran bersatu sekiranya ia diwajibkan sebagai bahasa komunikasi di semua sekolah. Junaini berkata, pembentukan dasar berkenaan baru pada peringkat kaji selidik bagi melihat maklum balas rakyat sebelum perancangan menyeluruh dilaksanakan. Sementara itu, Penyelidik Pasca Doktoral UKM, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria, berkata tindakan Jiao Zong itu akan menyebabkan kaji selidik berkenaan berat sebelah dan tidak relevan berdasarkan situasi sebenar. “Sepatutnya kaji selidik seperti ini perlu berjalan secara semula jadi supaya keputusannya nanti bermanfaat bagi pembentukan dasar berkenaan tetapi kini ia sudah dipengaruhi (dengan gesaan Jiao Zong). Jiao Zong tidak sepatutnya mempropagandakan kaji selidik ini. “Adalah lebih baik mereka mengambil peranan menerangkan kepada umum bahawa kerajaan bukan bertujuan menghapuskan identiti sekolah vernakular, sebaliknya mahu mencipta perpaduan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sumber: Berita Harian