UPSR berjalan lancar di seluruh negara

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diiringi Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul (kiri) ketika meninjau persiapan dan memberi kata semangat kepada murid yang menduduki Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) di SK Sodomon, Keningau. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KENINGAU: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,100 pusat peperiksaan seluruh negara, hari ini, berjalan lancar termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Bario, Sarawak yang terbakar semalam. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peperiksaan yang bermula jam 8 pagi tadi membabitkan seramai 452,721 calon. “Saya lihat persediaan UPSR di pedalaman adalah baik dan mudah-mudahan berjalan lancar sepanjang minggu ini. Cuma, kita agak terkejut bangunan SK Bario termasuk tempat peperiksaan yang terbakar, petang semalam. “Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Lembaga Peperiksaan mengubah lokasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario dan semua 16 calon UPSR sekolah itu dapat mendudukinya pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan UPSR di SK Sodomon, di sini, sebentar tadi. Ketibaan beliau pada jam 7.30 pagi tadi disambut Guru Besar SK Sodomon, Anthony Amin. Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul. Seramai 29 murid SK Sodomon menduduki UPSR pada tahun ini. Mereka adalah sebahagian daripada 44,558 murid tahun enam yang menduduki UPSR di 1,086 pusat peperiksaan di seluruh Sabah, tahun ini.

Sumber: Berita Harian