Laporan penuh siasatan minggu ini – Mahdzir

PUTRAJAYA 30 Ogos – Laporan penuh siasatan insiden kematian pelajar tingkatan tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini yang terjatuh dari bangunan sekolah semalam, akan diketahui dalam minggu ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun pihaknya masih menunggu laporan siasatan penuh polis, tetapi laporan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Mereka hanya bergurau sesama mereka. Kalau tengok laporan awal, tiada unsur berniat sehingga menyebabkan kejadian tidak diingini itu. Kita masih menunggu laporan (penuh siasatan) polis,” katanya selepas melancarkan Pelan Haja Tuju Pendidikan Bahasa Inggeris 2015-2025, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi semalam, Azim Hakimi Abu Shuja, 15, maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah ketika cuba mengambil beg sekolah rakannya yang dibuang rakan lain.

Mengulas kes seorang pelajar Tingkatan Dua yang koma akibat dibuli di Sungai Petani, Kedah, Mahdzir berkata, siasatan kes itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis buat masa ini.

Semalam, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun mengalami pendarahan dalam kepala akibat dipukul tiga pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani.

Muhammad Anas Amir, dikatakan ditumbuk dan dihantuk kepala ke dinding dalam sebuah bilik darjah, namun kejadian itu hanya disedari keluarga selepas mangsa pulang ke rumah dan mengadu sakit kepala.

“Kementerian sememangnya ada pasukan diwakili oleh kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri yang diketuai oleh seorang kaunselor untuk menangani kes buli. Kalau sudah ada laporan polis, kita biarlah polis siasat dahulu,” katanya. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: