Guru prasekolah perlu miliki diploma

Mahdzir Khalid menunjukkan buku English Language Roadmap 2015-2025

Mahdzir Khalid menunjukkan buku English Language Roadmap 2015-2025 selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman Kontrak Kolaborasi Kementerian Pendidikan-Cambridge English (CE) dan Pelancaran English Language Roadmap 2015-2025 di Putrajaya, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 30 Ogos – Kementerian Pendidikan mengarahkan semua agensi pelaksana pendidikan prasekolah mengambil guru prasekolah baharu yang memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak bermula tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penetapan kelayakan akademik minimum guru prasekolah di negara ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun 2020.

Menurutnya, pendidikan prasekolah tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] iaitu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan bagi kanak-kanak yang berumur dari empat hingga enam tahun.

“Pada 1 April lalu kerajaan telah meluluskan penetapan kelayakan akademik minimum, iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi guru prasekolah di Malaysia.

“Penetapan dasar ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan semua prasekolah dan profesionalisme guru prasekolah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, guru prasekolah yang sedia ada di agensi-agensi kerajaan dan swasta yang layak boleh meng­ikuti pengajian di mana-mana universiti awam atau swasta yang menawarkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

“Mereka boleh mengikutinya dengan menggunakan Kelayakan Masuk Khas atau melalui Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL-Accreditation of Prior Experiential Learning), tertakluk kepada kelulusan pi­hak institusi pendidikan tinggi berkenaan.

Walau bagaimanapun tegas beliau, semua agensi pelaksana perlu memberi perhatian terhadap kebajikan guru prasekolah sedia ada yang tidak memiliki kelayakan untuk melanjutkan pengajian pada tahap diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: