CGC taja RM200,000 terbit buku Islam

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan asas pengetahuan tentang industri kewangan Islam dengan menaja RM200,000 bagi menerbitkan buku teks ekonomi Islam.

Mohd. Zamree

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, buku teks berkenaan yang akan diterbitkan oleh Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) bakal memberi sumbangan besar kepada industri kewangan Islam dengan menyediakan sumber rujukan terbaik untuk pelajar, ahli akademik dan pengamal industri.

Katanya, buku teks tersebut mengandungi lebih daripada 20 bab yang dirangka oleh ahli akademik dan pakar yang berkaitan dalam bidang masing-masing selain gabungan kajian kes provokasi-pemikiran dan soalan berdasarkan perbincangan.

“Projek penerbitan ini diharap dapat memenuhi pengisian dan konteks ekonomi Islam dengan lebih mendalam kerana kebanyakan sumber maklumat yang diterbitkan sebelum ini tidak membincangkan isu itu secara menyeluruh.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang menyediakan produk pembiayaan patuh syariah, penajaan ini merupakan lanjutan daripada sumbangan kami terhadap industri kewangan Islam dan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif ISRA, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin merakamkan setinggi penghargaan di atas sokongan dan penajaan yang diberikan pihak CGC terutama bagi membantu aktiviti penyelidikan dalam bidang Syariah dan kewangan Islam.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: