Universiti digalak terbit dokumentasi bahan bermanfaat

DATUK Seri Idris Jusoh bersama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aeni Mokhtar pada majlis Pelancaran Buku Masjid Ulul Albab di Seberang Jertih, hari ini. – Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan universiti tempatan membuat dokumentasi hasil binaan yang mempunyai nilai sejarah untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan rakyat. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penerbitan, sama ada dalam bentuk video atau bercetak boleh dijadikan sebahagian daripada maklumat kepada orang ramai mengenai sesuatu ciptaan terutama bangunan bersejarah. Katanya, universiti tempatan sudah mempunyai unit penerbitannya sendiri dan perlu proaktif dalam mencari sumber untuk menerbitkan bahan rujukan yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai. “Usaha Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerbitkan bahan bercetak boleh dijadikan contoh oleh pengurusan universiti lain di negara ini. Pilih isu atau bahan sejarah di sesebuah kawasan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Buku Masjid Ulul Albab di Seberang Jertih, di sini hari ini. Katanya, penerbitan buku berkenaan amat baik dan menarik kerana ia mempunyai nilai tersendiri yang memaparkan seni bina Islam serta ukiran tradisional Melayu tulen. Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada 2009 dengan menggunakan kayu sepenuhnya dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari 2012. Ia menjadi mercu tanda keagungan Islam di negeri ini dan masjid pertama di Terengganu yang dibukukan sejarahnya. Idris yang juga Ahli Parlimen Besut, berkata sejumlah 1,000 buku berkenaan diterbitkan oleh UMT yang akan dijual kepada orang ramai.

Sumber: Berita Harian