Pendidikan abad ke-21 perkenal guru Malaysia peringkat global

LAI Li Kuan (duduk tiga dari kiri) bersama Pensyarah IPGKIK yang menyertai Kursus Reka Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pendidikan abad ke-21 yang dilaksanakan di negara ini membolehkan guru merancang dan mereka bentuk pengajaran dan pembelajaran menarik untuk dikongsikan dengan pendidik di seluruh dunia. Pengurus Penyertaan Guru Microsoft Malaysia, Lai Li Kuan, berkata untuk memastikan guru di negara ini dapat berkongsi kepakaran mereka di peringkat global, pihaknya mengadakan program kolaborasi dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, semalam. Katanya, program dianjurkan adalah dua siri Kursus Reka Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 di Pejabat Microsoft Malaysia di Menara Berkembar Petronas di sini dan IPGKIK, baru-baru ini. Katanya, menggunakan platform Komuniti Pendidik Microsoft (MEC), pensyarah IPGKIK didedahkan sumber pengajaran digital lebih interaktif dan menarik minat generasi pelajar masa kini. “MEC adalah laman pendidikan Microsoft untuk pendidik tempatan berkolaborasi dengan pendidik global serta berinovasi dalam pelbagai aspek khususnya kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) merentasi sempadan dunia.

DUTA Guru Microsoft Malaysia, Fairuz Nadira Zainal (kiri) memperkenalkan pakej pendidikan Microsoft kepada pensyarah IPGKIK di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

“Pensyarah diperkenalkan dengan perisian Office 365 dan penggunaan aplikasi Office Mix, Sway, OneNote, OneNote Class Notebook, Minecraft, selain MEC,” katanya dalam taklimat pada program berkenaan. Selain Li Kuan, seorang lagi pemudah cara adalah duta guru Microsoft Malaysia, Fairuz Nadira Zainal. Sementara itu, Pengarah IPGKIK, Dr Roziah Abdullah, berkata pensyarah perlu memantapkan penguasaan TMK supaya kekal relevan memberikan pendidikan kepada siswa pendidik yang lahir dan membesar dalam dunia digital. Katanya, pengajaran dan pembelajaran berasaskan TMK amat relevan dengan pendidikan abad 21 yang mula dilaksanakan di negara ini, sekali gus peranan guru konvensional dalam menyampaikan pengetahuan secara langsung kepada murid dilihat kurang sesuai lagi dalam mendepani arus globalisasi. “Peluang diberikan pihak Microsoft Malaysia membuka minda dan meningkatkan kualiti instruksional pensyarah IPGKIK dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih moden dan bermakna”, katanya. IPGKIK adalah Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir, Kementerian Pendidikan. Bagi pensyarah Bahasa Melayu institusi itu, Hayati Yusof, penggunaan pakej pendidikan Microsoft adalah antara wahana gaya pengajaran dan pembelajaran abad Ke-21 yang lebih aktif dan menyeronokkan. “Interaksi kuliah divariasikan dengan pelbagai kaedah seperti flipped classroom, perkongsian kolaboratif dengan mahasiswa luar negara dan mencipta rancangan pengajaran yang menarik dan diiktiraf oleh panel pendidikan Microsoft sebelum dikongsi dengan pendidik seluruh dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian