2 beradik cacat penglihatan daftar di USM

TIMBALAN Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Muhamad Jantan (kiri) beramah mesra dengan Felicia Pui Jia Yin dan Andrea Pui Jia Hui pada hari pendaftaran bagi pengajian ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. – Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Dua beradik yang mengalami masalah penglihatan antara 3,654 pelajar baharu yang mendaftar bagi pengajian ijazah pertama di ketiga-tiga kampus Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. Felicia Pui Jia Yin, 21, dan Andrea Pui Jia Hui, 20, yang cacat penglihatan sejak dilahirkan menerima tawaran dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional) di kampus USM di sini. Felicia berkata, dia masih belum mempunyai gambaran perjalanan yang akan dilaluinya sepanjang pengajian di USM, namun mengakui sudah bersedia untuk belajar menyesuaikan diri dengan sesi pengajian dan kehidupan sebagai pelajar universiti. “Sememangnya, saya tidak menjangka menerima tawaran daripada USM bagi pengajian ijazah pertama ini, namun saya sangat gembira dan teruja memulakan perjalanan hidup baharu di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di USM. Bapa dua beradik itu, Leo Pui, 49, berkata biarpun mempunyai masalah penglihatan, kedua-dua anaknya dianugerahkan kebijaksanaan. Beliau berkata, biarpun dia dan isterinya, Teresa Wong, 45, berasa sukar pada peringkat awal menjaga dua beradik berkenaan, mereka sedar cahaya mata itu adalah anugerah paling bernilai diberikan oleh Tuhan. “Saya berharap anak-anak saya berpeluang untuk belajar hidup berdikari dengan bermulanya sesi pengajian di universiti ini,” katanya. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Muhamad Jantan, berkata seramai 3,654 pelajar baharu mendaftar bagi pengajian ijazah pertama di ketiga-tiga kampus USM. Katanya, USM menerima permohonan daripada 20,300 calon lepas Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma dan pengajian yang setaraf dengannya. “Daripada jumlah itu, seramai 2,499 pelajar ditawarkan pengajian di kampus induk, 541 di kampus kejuruteraan dan 614 di kampus kesihatan. USM turut menerima 16 pelajar OKU dan 364 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Sumber: Berita Harian