2 beradik cacat penglihatan daftar di USM

TIMBALAN Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Muhamad Jantan (kiri) beramah mesra dengan Felicia Pui Jia Yin dan Andrea Pui Jia Hui pada hari pendaftaran bagi pengajian ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. – Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Dua beradik yang mengalami masalah penglihatan antara 3,654 pelajar baharu yang mendaftar bagi pengajian ijazah pertama di ketiga-tiga kampus Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. Felicia Pui Jia Yin, 21, dan Andrea Pui Jia Hui, 20, yang cacat penglihatan sejak dilahirkan menerima tawaran dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional) di kampus USM di sini. Felicia berkata, dia masih belum mempunyai gambaran perjalanan yang akan dilaluinya sepanjang pengajian di USM, namun mengakui sudah bersedia untuk belajar menyesuaikan diri dengan sesi pengajian dan kehidupan sebagai pelajar universiti. “Sememangnya, saya tidak menjangka menerima tawaran daripada USM bagi pengajian ijazah pertama ini, namun saya sangat gembira dan teruja memulakan perjalanan hidup baharu di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di USM. Bapa dua beradik itu, Leo Pui, 49, berkata biarpun mempunyai masalah penglihatan, kedua-dua anaknya dianugerahkan kebijaksanaan. Beliau berkata, biarpun dia dan isterinya, Teresa Wong, 45, berasa sukar pada peringkat awal menjaga dua beradik berkenaan, mereka sedar cahaya mata itu adalah anugerah paling bernilai diberikan oleh Tuhan. “Saya berharap anak-anak saya berpeluang untuk belajar hidup berdikari dengan bermulanya sesi pengajian di universiti ini,” katanya. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Muhamad Jantan, berkata seramai 3,654 pelajar baharu mendaftar bagi pengajian ijazah pertama di ketiga-tiga kampus USM. Katanya, USM menerima permohonan daripada 20,300 calon lepas Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma dan pengajian yang setaraf dengannya. “Daripada jumlah itu, seramai 2,499 pelajar ditawarkan pengajian di kampus induk, 541 di kampus kejuruteraan dan 614 di kampus kesihatan. USM turut menerima 16 pelajar OKU dan 364 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Elak bawa pelajar sekolah ke perhimpunan haram – Mahdzir

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan, di Butterworth, hari ini. – Foto Amir Irsyad Omar

BUTTERWORTH: Masyarakat dan ibu bapa diminta tidak mengheret anak-anak mereka atau pelajar sekolah menyertai perhimpunan haram. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar sekolah tidak akan hadir secara bersendirian ke tempat seperti itu kerana kebiasaannya mereka dibawa ibu bapa atau penjaga. “Kalau boleh pelajar sekolah ini kita elakkanlah hadir ke tempat seumpama itu…sebab nawaitu penganjuran (perhimpunan) itu sendiri pun dah tak berapa elok. “Eloklah kalau kita elakkan tempat seumpama itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan, di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelajar sekolah turut terbabit dalam perhimpunan haram anti kerajaan di ibu negara semalam. Mahdzir berkata, beliau tidak mendapat maklumat berhubung pembabitan pelajar sekolah dalam perhimpunan haram itu. Dalam pada itu, beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO turut menasihatkan mahasiswa untuk tidak turut serta dalam sebarang perhimpunan haram. “Kita pun pernah jadi mahasiswa. Kita pun nak yang paling ideal. Kita takkan dapat yang idealis. Jadi, kita carilah benda yang praktikal. Tak payahlah buat sesuatu yang menyusahkan masyarakat dan ibu bapa. “Buatlah benda-benda yang memberi kesan yang positif kepada kehidupan dan proses pembelajaran kita. Akhirnya nanti kita akan keluar universiti dan akan pergi kepada masyarakat. Sampai bila nak jadi aktivis masyarakat, tak kahwin, tak cari makan,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Universiti digalak terbit dokumentasi bahan bermanfaat

DATUK Seri Idris Jusoh bersama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aeni Mokhtar pada majlis Pelancaran Buku Masjid Ulul Albab di Seberang Jertih, hari ini. – Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan universiti tempatan membuat dokumentasi hasil binaan yang mempunyai nilai sejarah untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan rakyat. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penerbitan, sama ada dalam bentuk video atau bercetak boleh dijadikan sebahagian daripada maklumat kepada orang ramai mengenai sesuatu ciptaan terutama bangunan bersejarah. Katanya, universiti tempatan sudah mempunyai unit penerbitannya sendiri dan perlu proaktif dalam mencari sumber untuk menerbitkan bahan rujukan yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai. “Usaha Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerbitkan bahan bercetak boleh dijadikan contoh oleh pengurusan universiti lain di negara ini. Pilih isu atau bahan sejarah di sesebuah kawasan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Buku Masjid Ulul Albab di Seberang Jertih, di sini hari ini. Katanya, penerbitan buku berkenaan amat baik dan menarik kerana ia mempunyai nilai tersendiri yang memaparkan seni bina Islam serta ukiran tradisional Melayu tulen. Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada 2009 dengan menggunakan kayu sepenuhnya dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari 2012. Ia menjadi mercu tanda keagungan Islam di negeri ini dan masjid pertama di Terengganu yang dibukukan sejarahnya. Idris yang juga Ahli Parlimen Besut, berkata sejumlah 1,000 buku berkenaan diterbitkan oleh UMT yang akan dijual kepada orang ramai.

Sumber: Berita Harian

UPSI tawar 2,437 tempat kemasukan September

TANJUNG MALIM: Seramai 2,437 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mendaftar esok di empat kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. Mereka akan mendaftar dan menginap di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Aminuddin Baki (KAB) dan Kolej Za’ba (KZ). Pelajar ambilan September sesi 2016/2017 akan memulakan kuliah pada 5 September depan. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPDI, Prof Dr Mohamad Sahandri Gani Hamzah, berkata mereka akan melanjutkan pengajian dalam 40 program ijazah sarjana muda ditawarkan UPSI. “Pendaftaran membabitkan 25 program pendidikan dan 15 program bukan pendidikan di sembilan fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif serta Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan calon dan berharap mereka tidak menghampakan harapan ibu bapa. Beliau menasihatkan pelajar baru supaya menjaga nama baik universiti dan memfokus kepada matlamat menuntut ilmu serta memantapkan kemahiran sahsiah. “Aktiflah dalam pelbagai aktiviti di peringkat kolej, persatuan serta fakulti ,” katanya. UPSI juga menerima kemasukan enam pelajar Bangladesh dan tiga dari China. Bagi program mobiliti, seramai 19 pelajar dari China akan mendaftar.

Sumber: Berita Harian

Bantuan kewangan bayar yuran pendaftaran UA

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) melihat Buku Masjid Ulul Albab yang diterbitkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas pelancaran buku tersebut hari ini.Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (dua, kanan) dan Pengarang buku berkenaan Datuk Prof Madya Dr Noraien Mansor (kanan). – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pihak Universiti Awam (UA) memberi jaminan untuk membantu pelajar yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata beliau menerima maklumat bahawa terdapat segelintir pelajar, terutamanya daripada golongan B40, yang menghadapi kekangan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran bagi kemasukan ke UA. “Sehubungan dengan itu, saya sudah menghubungi setiap Naib Canselor UA mengenai perkara ini. “Alhamdulillah, mereka sudah menzahirkan keprihatinan mengenai hal ini dan memberi jaminan kepada saya bahawa pihak universiti sedia membantu pelajar yang mengalami kesulitan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran. “Oleh itu, pelajar baharu diminta untuk hadir pada hari pendaftaran di UA masing-masing dan bolehlah merujuk kaunter khas yang disediakan oleh pihak universiti untuk bantuan kewangan dan keterangan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Malah, katanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan bantuan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) berjumlah RM1,500 bagi pelajar yang memerlukan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. “WPP boleh ditunaikan oleh pelajar penerima mulai 22 Ogos lalu. “Pelajar yang berhasrat untuk mendapatkan pinjaman PTPTN, hendaklah memastikan permohonan secara dalam talian dihantar sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos ini dan seterusnya melengkapkan dokumen tawaran mengikut tarikh yang ditetapkan bagi memastikan wang pinjaman dapat diterima dengan cepat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PERODUA terus kerjasama dengan BH anjur seminar PT3, SPM

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil pelajar yang menyertai Seminar Peperiksaan PT3 2016 anjuran BH dan Perodua di Auditorium Bangunan Korporat Perodua, Sg Choh, turut kelihatan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman (kiri). – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

RAWANG: PERODUA meneruskan penganjuran Seminar Bimbingan Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kerjasama BH di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata penganjuran seminar ini dilihat dapat membantu pelajar memantapkan prestasi sebagai persiapan menghadapi PT3 yang akan berlangsung pada Oktober ini. “Diharap pelajar dapat memanfaatkan seminar dua hari ini dan mempraktikkan segala perkongsian penceramah berpengalaman daripada BH,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup di Auditorium Bangunan Korporat PERODUA di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman; Ketua Jabatan Komunikasi Korporat PERODUA, Sulasi Mahadi dan Pengarang Berita Pendidikan BH, Ridzuan Yop. Aminar Rashid berkata, ini adalah tahun keempat PERODUA bekerjasama dengan BH dalam penganjuran seminar PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan 840 pelajar. Sementara itu, Datuk Badrulhisham berkata, penganjuran program itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERODUA. “Saya amat yakin komitmen PERODUA dalam penganjuran program sebegini dapat membantu negara melahirkan lebih ramai generasi bijak pandai sebagai pelapis negara pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pendidikan abad ke-21 perkenal guru Malaysia peringkat global

LAI Li Kuan (duduk tiga dari kiri) bersama Pensyarah IPGKIK yang menyertai Kursus Reka Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pendidikan abad ke-21 yang dilaksanakan di negara ini membolehkan guru merancang dan mereka bentuk pengajaran dan pembelajaran menarik untuk dikongsikan dengan pendidik di seluruh dunia. Pengurus Penyertaan Guru Microsoft Malaysia, Lai Li Kuan, berkata untuk memastikan guru di negara ini dapat berkongsi kepakaran mereka di peringkat global, pihaknya mengadakan program kolaborasi dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, semalam. Katanya, program dianjurkan adalah dua siri Kursus Reka Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 di Pejabat Microsoft Malaysia di Menara Berkembar Petronas di sini dan IPGKIK, baru-baru ini. Katanya, menggunakan platform Komuniti Pendidik Microsoft (MEC), pensyarah IPGKIK didedahkan sumber pengajaran digital lebih interaktif dan menarik minat generasi pelajar masa kini. “MEC adalah laman pendidikan Microsoft untuk pendidik tempatan berkolaborasi dengan pendidik global serta berinovasi dalam pelbagai aspek khususnya kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) merentasi sempadan dunia.

DUTA Guru Microsoft Malaysia, Fairuz Nadira Zainal (kiri) memperkenalkan pakej pendidikan Microsoft kepada pensyarah IPGKIK di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

“Pensyarah diperkenalkan dengan perisian Office 365 dan penggunaan aplikasi Office Mix, Sway, OneNote, OneNote Class Notebook, Minecraft, selain MEC,” katanya dalam taklimat pada program berkenaan. Selain Li Kuan, seorang lagi pemudah cara adalah duta guru Microsoft Malaysia, Fairuz Nadira Zainal. Sementara itu, Pengarah IPGKIK, Dr Roziah Abdullah, berkata pensyarah perlu memantapkan penguasaan TMK supaya kekal relevan memberikan pendidikan kepada siswa pendidik yang lahir dan membesar dalam dunia digital. Katanya, pengajaran dan pembelajaran berasaskan TMK amat relevan dengan pendidikan abad 21 yang mula dilaksanakan di negara ini, sekali gus peranan guru konvensional dalam menyampaikan pengetahuan secara langsung kepada murid dilihat kurang sesuai lagi dalam mendepani arus globalisasi. “Peluang diberikan pihak Microsoft Malaysia membuka minda dan meningkatkan kualiti instruksional pensyarah IPGKIK dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih moden dan bermakna”, katanya. IPGKIK adalah Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir, Kementerian Pendidikan. Bagi pensyarah Bahasa Melayu institusi itu, Hayati Yusof, penggunaan pakej pendidikan Microsoft adalah antara wahana gaya pengajaran dan pembelajaran abad Ke-21 yang lebih aktif dan menyeronokkan. “Interaksi kuliah divariasikan dengan pelbagai kaedah seperti flipped classroom, perkongsian kolaboratif dengan mahasiswa luar negara dan mencipta rancangan pengajaran yang menarik dan diiktiraf oleh panel pendidikan Microsoft sebelum dikongsi dengan pendidik seluruh dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian