UiTM, Open Learning jalin kerjasama tawar kursus dalam talian

NAIB Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (kiri) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenLearning Adam Brimo (kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian perkongsian untuk Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs) di Malaysia pada Sidang Media di Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. – Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama negara yang menandatangani perjanjian perkongsian dengan OpenLearning untuk Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs). Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, menerusi MOOCs, pendidik UiTM sudah membangunkan 16 kursus dalam talian sebagai usaha untuk memacu pembelajaran aktif dan kolabrasi dalam kalangan pelajar universiti berkenaan. “MOOCs adalah satu sistem yang membolehkan pelajar universiti awam menyertai kursus atas talian tanpa perlu menghadiri kelas dan ia boleh diakses di mana-mana sahaja mereka berada. “Pelajar universiti sekarang sudah tidak gemar untuk hadir ke kelas dan kebanyakan mereka lebih gemar belajar di luar kelas. “Justeru, kursus yang ditawarkan MOOCs menerusi platform OpenLearning ini pasti memberi mereka lebih keseronokan untuk belajar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian MOOCs UiTM bersama OpenLearning, di sini, hari ini. Hassan berkata, menerusi MOOCs, pelajar UiTM juga berpeluang berinteraksi dengan pelajar dari universiti lain dari seluruh dunia, yang turut mendaftar dalam sistem berkenaan. Sementara itu, Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif OpenLearning, Adam Brimo, berkata perkongsian antara UiTM dan OpenLearning membuktikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dunia dalam MOOCs serta komitmen terhadap pembelajaran aktif dalam sistem pendidikan tinggi. Katanya, sehingga kini, lebih 500,000 pelajar dari Malaysia dan seluruh dunia sudah mendaftar dalam MOOCs di http://www.openlearning.com. “Kursus yang ditawarkan dalam talian boleh didapati dalam Bahasa Arab, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. “Kursus turut merangkumi pelbagai pilihan topik, termasuk Perniagaan, Kejuruteraan, Keusahawanan, Kewangan, Kesihatan, Bahasa, Teknologi dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Berita Harian