Mahasiswa tak perlu obses dengan politik

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.- Foto Fariz Iswadi Ismail

BATU PAHAT: Mahasiswa dan pelajar universiti awam (UA) negara ini diingatkan supaya tidak terlalu obses berpolitik sehingga dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mahasiswa perlu menginsafi harapan tinggi yang disandarkan ibu bapa serta keluarga terhadap mereka untuk mencapai kejayaan.  Katanya, walaupun mahasiswa diberi kebebasan berpolitik ketika sedang mengikuti pengajian berdasarkan akta ditetapkan, mereka perlu menjaga tingkah laku. “Kerajaan sentiasa beri peringatan kepada mahasiswa supaya jangan obses berpolitik sehingga tidak sedar dipergunakan sesetengah golongan tidak bertanggungjawab. “Kita tidak mahu budaya lompat mahupun rempuh pagar kononnya diangkat sebagai hero sedangkan ia langsung tidak mencerminkan budaya ketimuran kita. “Saya harap mahasiswa bertindak bijak dengan mengutamakan pengajian mereka dan jangan sesekali menghampakan harapan ibu bapa, keluarga serta negara yang amat berharap pada sumbangan mereka membangunkan negara,” katanya selepas merasmikan Pusat Minda Emas (PUMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Tanjung Laboh, Senggarang, dekat sini, hari ini.  Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Ir Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin. Beliau berkata demikian bagi memberi peringatan kepada mahasiswa supaya menghindari aktiviti tidak bermanfaat termasuk penganjuran perhimpunan ‘Tangkap Malaysian Official 1’ (#TangkapMO1), Sabtu ini di Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu, Sabah. Perhimpunan itu kononnya mendesak identiti ‘MO1’, yang disebutkan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

Sumber: Berita Harian