Larangan murid sertai aktiviti air ditarik balik

PASIR GUDANG: Kementerian Pendidikan menarik balik larangan ke atas semua aktiviti air dalam kegiatan kokurikulum murid yang dibuat pada 12 Ogos lalu, mulai semalam. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, larangan mengadakan aktiviti air itu dibuat susulan kejadian seorang guru di Kedah yang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus ketika mengikuti program di Kem Jerai, Kedah pada 17 hingga 20 Julai lalu. Katanya, larangan itu ditarik balik berikutan kementerian mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan baru sebagai panduan keselamatan semasa pengajaran pendidikan jasmani dan kesihatan serta kegiatan kokurikulum. “Menerusi SOP itu, semua kegiatan kokurikulum, sukan dan pendidikan khas yang membabitkan air seperti di laut, sungai, air terjun, tasik atau kolam perlu mematuhi garis panduan ditetapkan iaitu sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Seni Malaysia Johor, di Bandar Seri Alam, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Jais Sarday. Mahdzir berkata, pihak sekolah juga perlu membuat persiapan sebelum aktiviti air dijalankan termasuk meninjau kawasan terbabit dan meminta pandangan Jabatan Kesihatan. “Setakat ini tiada lagi kes kencing tikus dilaporkan. Garis panduan ini dibuat supaya kita berhati-hati memilih tempat untuk aktiviti, kalau tempat itu sudah berulang kali ada kes, kalau kita pergi juga, memang cari nahas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

UiTM, Open Learning jalin kerjasama tawar kursus dalam talian

NAIB Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (kiri) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenLearning Adam Brimo (kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian perkongsian untuk Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs) di Malaysia pada Sidang Media di Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. – Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama negara yang menandatangani perjanjian perkongsian dengan OpenLearning untuk Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs). Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, menerusi MOOCs, pendidik UiTM sudah membangunkan 16 kursus dalam talian sebagai usaha untuk memacu pembelajaran aktif dan kolabrasi dalam kalangan pelajar universiti berkenaan. “MOOCs adalah satu sistem yang membolehkan pelajar universiti awam menyertai kursus atas talian tanpa perlu menghadiri kelas dan ia boleh diakses di mana-mana sahaja mereka berada. “Pelajar universiti sekarang sudah tidak gemar untuk hadir ke kelas dan kebanyakan mereka lebih gemar belajar di luar kelas. “Justeru, kursus yang ditawarkan MOOCs menerusi platform OpenLearning ini pasti memberi mereka lebih keseronokan untuk belajar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian MOOCs UiTM bersama OpenLearning, di sini, hari ini. Hassan berkata, menerusi MOOCs, pelajar UiTM juga berpeluang berinteraksi dengan pelajar dari universiti lain dari seluruh dunia, yang turut mendaftar dalam sistem berkenaan. Sementara itu, Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif OpenLearning, Adam Brimo, berkata perkongsian antara UiTM dan OpenLearning membuktikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dunia dalam MOOCs serta komitmen terhadap pembelajaran aktif dalam sistem pendidikan tinggi. Katanya, sehingga kini, lebih 500,000 pelajar dari Malaysia dan seluruh dunia sudah mendaftar dalam MOOCs di http://www.openlearning.com. “Kursus yang ditawarkan dalam talian boleh didapati dalam Bahasa Arab, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. “Kursus turut merangkumi pelbagai pilihan topik, termasuk Perniagaan, Kejuruteraan, Keusahawanan, Kewangan, Kesihatan, Bahasa, Teknologi dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Jalur Gemilang daripada 110,000 penutup botol

TIMBALAN Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan melihat Jalur Gemilang yang dihasilkan menggunakan 110,000 tudung botol oleh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RRI Sungai Buloh. – Foto Rohanis Shukri

PETALING JAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RRI Sungai Buloh, di sini, hari ini mencatat nama dalam The Malaysian Book of Records selepas menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan 110,000 tudung botol. Jalur Gemilang yang berukuran 14.4 meter panjang dan 7.7 meter lebar itu disiapkan oleh lebih 200 murid, guru serta ibu bapa SJKT RRI Sungai Buloh dalam tempoh 24 jam, bermula jam 7 pagi semalam. Guru Besar, S Sarasvathy, berkata penghasilan Jalur Gemilang itu adalah sempena sambutan Kemerdekaan ke-59, selain mahu menyuburkan rasa cinta negara dan alam sekitar kepada semua murid. “Kita berharap dengan menggunakan bahan terbuang untuk menghasilkan Jalur Gemilang ini, bukan saja dapat menyemai semangat patriotisme dalam diri murid, malah dapat menyuburkan rasa cinta kepada alam sekitar,” katanya. Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan turut hadir menyaksikan Jalur Gemilang berkenaan yang dihasilkan daripada tudung botol.

Sumber: Berita Harian

Semangat cinta negara diterjemah dalam lukisan

MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 membentuk susunan 59 bendera Jalur Gemilang di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2, Pasir Gudang. – Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Kejayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 dekat sini, membentuk susunan 59 bendera Jalur Gemilang dalam masa tiga minggu, bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan ke-59 negara. Usaha 574 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam termasuk 27 murid pendidikan khas bagi menyiapkan bendera berukuran 40 meter x 60 meter itu menyemarakkan bulan kemerdekaan, sekali gus mewujudkan semangat kekitaan dalam diri anak muda. Ketua Panitia Sejarah SK Taman Rinting 2, Ilham Ismail, berkata idea menghasilkan bendera daripada kain putih itu antara usaha pihak sekolah bagi mewujudkan kerjasama antara murid demi mencapai perpaduan menerusi permuafakatan bangsa Johor sendiri. “Murid diibaratkan sehelai kain putih, dan menjadi tanggungjawab guru bagi mencorakkan peribadi mereka menerusi pendidikan secara tidak formal, sekali gus menyuburkan semangat kemerdekaan dalam jiwa. “Sekolah menjadi platform bagi menyuntik semangat patriotik dalam diri murid,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Ilham yang juga penyelaras Projek 59 Jalur Gemilang itu berkata, kesungguhan dan komitmen murid menjadi simbolik kebanggaan rakyat Malaysia kekal di tanah bebas seperti warna mural pada kain terbabit.

Sumber: Berita Harian

UIAM semarak semangat kemerdekaan

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraikan majlis semarak bulan kemerdekaan peringkat universiti di Pusat Kebudayaan UIAM, di Gombak, hari ini.

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraikan majlis semarak bulan kemerdekaan peringkat universiti di Pusat Kebudayaan UIAM, di sini hari ini. Majlis bermula dengan perbarisan oleh kakitangan dari pelbagai jabatan dan kanak-kanak dari Pusat Asuhan Awal Educare UIAM. Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim yang hadir pada majlis itu turut melakukan pemeriksaan kawalan perbarisan Pasukan Polis Bantuan UIAM dan Bahagian Keselamatan UIAM. Pasukan polis bantuan UIAM turut mempersembahkan demonstrasi dengan acara T-Baton. Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pasukan perbarisan. UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraikan majlis semarak bulan kemerdekaan peringkat universiti di Pusat Kebudayaan UIAM, di Gombak, hari ini.

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraikan majlis semarak bulan kemerdekaan peringkat universiti di Pusat Kebudayaan UIAM, di Gombak, hari ini. «»

Sumber: Berita Harian

Mahasiswa tak perlu obses dengan politik

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.- Foto Fariz Iswadi Ismail

BATU PAHAT: Mahasiswa dan pelajar universiti awam (UA) negara ini diingatkan supaya tidak terlalu obses berpolitik sehingga dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mahasiswa perlu menginsafi harapan tinggi yang disandarkan ibu bapa serta keluarga terhadap mereka untuk mencapai kejayaan.  Katanya, walaupun mahasiswa diberi kebebasan berpolitik ketika sedang mengikuti pengajian berdasarkan akta ditetapkan, mereka perlu menjaga tingkah laku. “Kerajaan sentiasa beri peringatan kepada mahasiswa supaya jangan obses berpolitik sehingga tidak sedar dipergunakan sesetengah golongan tidak bertanggungjawab. “Kita tidak mahu budaya lompat mahupun rempuh pagar kononnya diangkat sebagai hero sedangkan ia langsung tidak mencerminkan budaya ketimuran kita. “Saya harap mahasiswa bertindak bijak dengan mengutamakan pengajian mereka dan jangan sesekali menghampakan harapan ibu bapa, keluarga serta negara yang amat berharap pada sumbangan mereka membangunkan negara,” katanya selepas merasmikan Pusat Minda Emas (PUMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Tanjung Laboh, Senggarang, dekat sini, hari ini.  Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Ir Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin. Beliau berkata demikian bagi memberi peringatan kepada mahasiswa supaya menghindari aktiviti tidak bermanfaat termasuk penganjuran perhimpunan ‘Tangkap Malaysian Official 1’ (#TangkapMO1), Sabtu ini di Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu, Sabah. Perhimpunan itu kononnya mendesak identiti ‘MO1’, yang disebutkan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

Sumber: Berita Harian