Permata cari kanak-kanak pintar

ROSMAH MANSOR beramah mesra dengan kanak-kanak Permata dalam majlis

ROSMAH MANSOR beramah mesra dengan kanak-kanak Permata dalam majlis pelancaran program Perkhemahan Pintar dan Berbakat Permata Negara di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut hadir Saidatul Akhma Hassan (kiri), Siti Azizah Sheikh Abod (dua dari kiri), Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (empat dari kanan) dan Noriah Mohd. Ishak (dua dari kanan). BERNAMA

PUTRAJAYA 23 Ogos – Program Permata Negara (Permata) sedang mengenal pasti kanak-kanak pintar berumur antara dua dan empat tahun untuk menyertai program khas Perkhemahan Pintar dan Berbakat Permata Negara pada November ini.

Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bagi tujuan itu, kanak-kanak yang berminat perlu menjalani satu ujian tahap kecergasan minda (IQ) menerusi Ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak Permata (PCIS) di laman web pcis.upsi-ukm.edu.my yang akan dibuka untuk tempoh dua bulan bermula 27 Ogos ini.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata, pemilihan ditentukan berdasarkan skor yang akan dicapai kanak-kanak itu di dalam ujian PCIS tersebut.

“Kanak-kanak yang berjaya mencapai skor PCIS yang ditetapkan akan dipelawa menghadiri Perkhemahan Sains Kanak-Kanak 2016 pada November ini selama lima hari. Pelajar akan didedahkan dalam bidang Biologi, Kimia, Kejuruteraan, Fizik dan Forensik.

“Secara umumnya, perkhemahan tersebut bertujuan membantu kanak-kanak pintar dan berbakat membina kebolehan dan minat mereka terhadap pembelajaran Sains,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Permata, Datuk Saidatul Akhma Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod; Perunding Kanan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak.

Rosmah berkata, perkhemahan yang berbentuk harian itu dijalankan mengikut zon iaitu zon utara (Alor Setar, Kedah); zon tengah (Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak); zon selatan (Kolej Permata Pintar, Selangor); zon timur (Kuala Terengganu) dan Sabah serta Kuching, Sarawak.

Katanya, ujian PCIS dan kem itu dikendalikan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) di UPSI dan Pusat Permata Pintar.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: