Pendidikan untuk semua menjelang 2030

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Selari dengan perkembangan pendidikan global, Kementerian Pendidikan meletakkan saranan pelaksanaan pendidikan untuk semua menjelang tahun 2030.

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, data terbaharu menunjukkan mereka yang menerima pendidikan formal di sekolah rendah adalah 96 peratus manakala sekolah menengah pula 86 peratus.

“Menjelang tahun 2030, kita mahu 100 peratus kanak-kanak Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak mendapat pendidikan formal sepenuhnya dari tahun satu hingga tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran dan Simposium Pendidikan 2030 anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan UNESCO di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mahdzir mengaku kementeriannya berdepan dengan sedikit cabaran ke arah mencapai matlamat itu terutamanya melibatkan peringkat sekolah menengah atas berbanding menengah rendah dan sekolah rendah.

Ini kerana katanya sebaik sahaja mencapai usia 16 tahun, pelajar mempunyai pelbagai pilihan termasuk memasuki kolej-kolej vokasional, swasta atau alam pekerjaan.

“Ini menyebabkan saranan kementerian sekurang-kurangnya menerima pendidikan formal di sekolah bagi tempoh 11 tahun sedikit sukar dicapai,” katanya.

Beliau memberitahu, pendidikan untuk semua berasaskan tiga prinsip utama iaitu akses, inklusif dan kualiti serta meliputi peringkat awal kanak-kanak sehingga peringkat tertiari dan pendidikan sepanjang hayat.

Skop yang luas ini kata beliau bertujuan memastikan pe­luang pendidikan diperoleh serta dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara sama rata.

Dalam pada itu, Mahdzir ketika berucap berkata, kementerianya telah mewujudkan meka­nisme pemantauan bagi memastikan perkembangan pendidikan kebangsaan selari dengan perkembangan pendidikan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak tujuh sasaran, tiga mekanisme pelaksanaan dan 43 indikator telah digariskan di bawah ­Education 2030 yang memberi fokus kepada akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Ketika mengulas isu keracunan makanan di Kolej Matrikulasi Gopeng yang melibatkan 52 pelajar semalam, Mahdzir berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pembatalan tender 24 jam kepada matrikulasi terlibat selepas siasatan selesai.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mengeluarkan notis amaran sebelum bertindak,” katanya.

Kejadian di Kolej Matrikulasi Gopeng dipercayai berpunca da­ripada makanan berasaskan ayam yang dijual di kafeteria asrama lelaki yang dibeli oleh pelajar pada Sabtu lalu.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: