Kem Hebat English rangsang pelajar

Sebahagian daripada pelajar yang mengikuti Kem Hebat English anjuran

Sebahagian daripada pelajar yang mengikuti Kem Hebat English anjuran Kelab Tabung Haji (Taha) di Hotel TH, Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 23 Ogos – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terus menggerakkan program tanggungjawab sosialnya dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak bangsa dengan turut memberi fokus kepada penguasaan Bahasa Inggeris.

Menyedari kelemahan penguasaan bahasa dunia itu dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini, Kelab Tabung Haji (Taha) telah menganjurkan satu bengkel Kem Hebat English, di Hotel TH, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohyen Mosman berkata, program dengan kerjasama Utusan Malaysia itu bagi untuk mengatasi kelemahan pe­nguasaan Bahasa Inggeris yang menjadi salah satu punca menjejaskan pencapaian pelajar dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam.

“Program seliaan Berkat Minda Resources ini kali pertama diadakan dengan mengumpulkan 160 pelajar sekolah menengah dari 10 buah sekolah di beberapa daerah di negeri ini.

“Melalui bengkel sehari kendalian guru pakar, ia memberi peluang kepada pelajar mengikuti program yang diadakan secara percuma yang di­biayai Kelab Taha,’ katanya pada majlis penutup kem berkenaan.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Berkat Minda Resources Sdn Bhd, Mahmod Mat Ali. Program dikendalikan oleh dua orang guru pakar iaitu Rozila Daud dan Mohd Nasir Alias.

Sementara itu, seorang peserta kursus yang ditemui, Azizah Abdul Rahman, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri berkata, melalui program itu, dia berpeluang mempelajari teknik belajar bahasa inggeris yang lebih mudah.

“Saya merasa lega selepas kursus ini kerana tidak lagi merasa sukar untuk belajar mata pelajaran ini. Ini kerana dapat kaedah baru yang lebih cepat dan mudah untuk difahami.

“Apa yang saya belajar melalui program ini dapat dipraktikkan dalam pelajaran semasa di kelas nanti,” katanya.

Bagi Nur Amyza Syazwani Ahmad, 16, menyertai kelab Taha satu kelebihan kerana selain dapat menerap semangat menabung, ia juga memberi peluang kepada pelajar sepertinya menyertai pelbagai program lain, terutama berkaitan pelajaran.

“Dengan menyertai Kelab Taha, kita dapat mengikuti program akademik secara percuma dan agak berlainan daripada apa yang dipelajari di sekolah.

“Program seperti ini juga memberi peluang untuk kita mengenali rakan baharu yang juga ahli kelab Taha,” katanya lagi.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: