100 peratus kanak-kanak terima pendidikan penuh menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan tiada rakyat Malaysia akan tercicir daripada mendapat pendidikan penuh dari peringkat rendah hingga menengah menjelang 2030. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia sejajar dengan sasaran ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya semua kanak-kanak seluruh dunia menerima pendidikan menjelang 2030. PBB melancarkan 17 Matlamat Global (SDGs) pada September tahun lalu dengan Matlamat Keempatnya yang turut dikenali sebagai Pendidikan 2030, yang antara lain menetapkan semua kanak-kanak seluruh dunia mendapat akses kepada pendidikan di peringkat rendah dan menengah menjelang 2030. Beliau berkata, ketika ini, 96 peratus kanak-kanak di negara ini menerima pendidikan di peringkat sekolah rendah dan 86 peratus di sekolah menengah. “Kita yakin boleh mencapai sasaran 100 peratus untuk peringkat sekolah rendah menjelang 2030, tetapi bagi peringkat menengah agak mencabar kerana selepas Tingkatan Tiga, mereka mempunyai banyak laluan. “Kerana itu, kita mewujudkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang mampu menggalakkan lepasan Tngkatan Tiga, yang tidak berminat dengan akademik, menyambung pelajaran mereka ke arah bidang terbabit,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Simposium dan Pendidikan 2030, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof. Cabaran lain, kata Mahdzir, adalah untuk mencari jalan bagaimana kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman mampu pergi ke sekolah dan menerima pendidikan.

Sumber: Berita Harian