100 peratus kanak-kanak terima pendidikan penuh menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan tiada rakyat Malaysia akan tercicir daripada mendapat pendidikan penuh dari peringkat rendah hingga menengah menjelang 2030. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia sejajar dengan sasaran ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya semua kanak-kanak seluruh dunia menerima pendidikan menjelang 2030. PBB melancarkan 17 Matlamat Global (SDGs) pada September tahun lalu dengan Matlamat Keempatnya yang turut dikenali sebagai Pendidikan 2030, yang antara lain menetapkan semua kanak-kanak seluruh dunia mendapat akses kepada pendidikan di peringkat rendah dan menengah menjelang 2030. Beliau berkata, ketika ini, 96 peratus kanak-kanak di negara ini menerima pendidikan di peringkat sekolah rendah dan 86 peratus di sekolah menengah. “Kita yakin boleh mencapai sasaran 100 peratus untuk peringkat sekolah rendah menjelang 2030, tetapi bagi peringkat menengah agak mencabar kerana selepas Tingkatan Tiga, mereka mempunyai banyak laluan. “Kerana itu, kita mewujudkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang mampu menggalakkan lepasan Tngkatan Tiga, yang tidak berminat dengan akademik, menyambung pelajaran mereka ke arah bidang terbabit,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Simposium dan Pendidikan 2030, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof. Cabaran lain, kata Mahdzir, adalah untuk mencari jalan bagaimana kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman mampu pergi ke sekolah dan menerima pendidikan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Kementerian Pendidikan teliti aspek keselamatan

ALOR SETAR 22 Ogos – Kementerian Pendidikan akan mengkaji langkah mempertingkatkan keselamatan secara menyeluruh membabitkan guru-guru yang terpaksa menggunakan pengangkutan air seperti bot untuk bertugas di pulau.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian mengambil berat keselamatan warga pendidik terutama mereka yang terpaksa mengharungi laut­an untuk ke mengajar di sekolah masing-masing.

Kata beliau, pihaknya me­ngucapkan takziah kepada keluar­ga dua guru yang maut dalam kejadian bot karam di Kampung Rampayan Laut menuju Pulau Mantanani dekat Kota Belud, Sabah semalam.

“Demi tugas mereka terpaksa mengharungi laut, ini satu pe­ngorbanan yang cukup besar seper­ti guru-guru yang mengajar di Sabah di mana terdapat banyak sekolah terletak di pulau di situ.

“Saya dimaklumkan mang­sa yang terlibat dalam tugasan kerana mereka hendak balik ke sekolah untuk mengajar dan ini satu tragedi dan kita juga sedia ambil perhatian dengan melihat ada kaedahnya dari segi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Melestarikan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) – Menjangkau Lima Tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mantanani, Limun Gamburut, 50-an, dan seorang guru sekolah yang sama, Kamariah Hamdan, 47, yang dalam perjalanan ke Pulau Mantanani maut selepas bot yang mereka menaiki terbalik serta karam di perairan Kampung Kuala Rampayan Laut di Kota Belud.

– Sumber : Utusan online

Kem Hebat English rangsang pelajar

Sebahagian daripada pelajar yang mengikuti Kem Hebat English anjuran

Sebahagian daripada pelajar yang mengikuti Kem Hebat English anjuran Kelab Tabung Haji (Taha) di Hotel TH, Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 23 Ogos – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terus menggerakkan program tanggungjawab sosialnya dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak bangsa dengan turut memberi fokus kepada penguasaan Bahasa Inggeris.

Menyedari kelemahan penguasaan bahasa dunia itu dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini, Kelab Tabung Haji (Taha) telah menganjurkan satu bengkel Kem Hebat English, di Hotel TH, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohyen Mosman berkata, program dengan kerjasama Utusan Malaysia itu bagi untuk mengatasi kelemahan pe­nguasaan Bahasa Inggeris yang menjadi salah satu punca menjejaskan pencapaian pelajar dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam.

“Program seliaan Berkat Minda Resources ini kali pertama diadakan dengan mengumpulkan 160 pelajar sekolah menengah dari 10 buah sekolah di beberapa daerah di negeri ini.

“Melalui bengkel sehari kendalian guru pakar, ia memberi peluang kepada pelajar mengikuti program yang diadakan secara percuma yang di­biayai Kelab Taha,’ katanya pada majlis penutup kem berkenaan.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Berkat Minda Resources Sdn Bhd, Mahmod Mat Ali. Program dikendalikan oleh dua orang guru pakar iaitu Rozila Daud dan Mohd Nasir Alias.

Sementara itu, seorang peserta kursus yang ditemui, Azizah Abdul Rahman, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri berkata, melalui program itu, dia berpeluang mempelajari teknik belajar bahasa inggeris yang lebih mudah.

“Saya merasa lega selepas kursus ini kerana tidak lagi merasa sukar untuk belajar mata pelajaran ini. Ini kerana dapat kaedah baru yang lebih cepat dan mudah untuk difahami.

“Apa yang saya belajar melalui program ini dapat dipraktikkan dalam pelajaran semasa di kelas nanti,” katanya.

Bagi Nur Amyza Syazwani Ahmad, 16, menyertai kelab Taha satu kelebihan kerana selain dapat menerap semangat menabung, ia juga memberi peluang kepada pelajar sepertinya menyertai pelbagai program lain, terutama berkaitan pelajaran.

“Dengan menyertai Kelab Taha, kita dapat mengikuti program akademik secara percuma dan agak berlainan daripada apa yang dipelajari di sekolah.

“Program seperti ini juga memberi peluang untuk kita mengenali rakan baharu yang juga ahli kelab Taha,” katanya lagi.

– Sumber : Utusan online

Selesai segera isu keracunan di sekolah

IPOH 23 Ogos – Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendi­di­kan diminta bertindak se­gera bagi memastikan masalah keracunan makanan di sekolah di negeri ini tidak terus berulang.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, satu standard penyediaan makanan serta kualiti perlu diwujudkan bagi memastikan ia dapat diikuti oleh semua penyedia dan pengendali makanan di sekolah.

Tambah beliau, pada masa sama, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu dipastikan benar-benar mencapai piawaian khususnya dalam aspek penting seperti ini.

“Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian berhubung kejadian keracunan ter­sebut supaya tidak lagi berulang.

“Kerajaan negeri bukan ingin melepaskan tanggungjawab, tetapi apabila berlaku keracunan­ makanan melibatkan pengurusan kantin sekolah, kita ti­dak boleh bertindak kerana ia di ba­wah bi­dang­ kuasa dua kementerian itu.

“Selagi kita tiada kaedah yang baik, kualiti makan yang baik, selagi itulah kita akan mendengar masalah keracunan ini,” katanya ke­pada pemberita selepas pro­gram­ Selamat Pagi Perak Bersama Menteri Besar di Perak FM di sini hari ini.

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes keracunan makanan semakin kerap berlaku di negeri ini dengan 10 kes melibatkan sekolah di seluruh Perak sepanjang bulan ini.

Lima daripada kes tersebut dilaporkan dari 7 hingga 13 Ogos lalu manakala lima lagi direkodkan pada 14 hingga 20 Ogos.

Terbaharu, semalam apabila se­ra­mai 52 pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Gopeng disahkan mengalami keracunan makanan selepas 56 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami masalah serupa Rabu lalu.

Tambah Zambry, bagi kedua-dua kes berkenaan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengang­kutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon untuk mendapatkan laporan dari Ja­batan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan negeri.

– Sumber : Utusan online

Bantu tingkat kualiti pendidikan awal kanak-kanak

Maznah Mazlan (duduk di kerusi tengah) bergambar bersama peserta

Maznah Mazlan (duduk di kerusi tengah) bergambar bersama peserta seminar selepas perasmian penutup seminar Pemantapan Kemahiran Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Dewan Utama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kuantan, Pahang di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 23 0gos – Seramai 150 peserta mengikuti seminar Pemantapan Kemahiran Pendidikan Awal Kanak-Kanak anjuran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Pahang dengan kerjasama Felda negeri dan Pertubuhan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) di universiti itu, di sini semalam.

Pengerusi NCWO Pantai Timur, Datuk Seri Maznah Mazlan berkata, seminar tersebut bertujuan memantapkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak untuk diguna pakai oleh pendidik dan penjaga mereka.

”Pendedahan ini merupakan paksi kepada pembangunan manusia daripada peringkat akar umbi kerana kita memerlukan tenaga kerja berkualiti tinggi dalam bidang ini,” katanya selepas menutup program berkenaan.

Yang hadir sama Pengarah OUM Pahang, Dr. Zuraimay Zainuddin.

Menurut Maznah, seminar sehari itu dibahagikan kepada dua slot iaitu bersama guru pengge­rak literasi Felda wilayah Jengka dan Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (Pianis).

Beliau berkata, majoriti yang terlibat dalam bidang ber­kenaan adalah golongan wanita yang mana ada antara mereka berpelajaran tinggi tetapi tidak berpeluang mengembangkanya ekoran kekangan tertentu.

”Penyertaan dalam seminar ini secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mereka seterusnya menyumbang kepada komuniti dengan ilmu yang ada,” ujar beliau.

– Sumber : Utusan online

UMP terima anugerah emas MSOSH 2015

Daing Nasir Ibrahim (tiga dari kanan) melihat sijil anugerah Gold

Daing Nasir Ibrahim (tiga dari kanan) melihat sijil anugerah Gold Class 11 yang diperoleh Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) dalam Majlis Anugerah MSOSH 2015 Occupational Safety & Health Awards di Hotel Dorsett Subang Jaya, Selangor baru-baru ini

KUANTAN 23 Ogos – Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) berikutan pencapaiannya dalam memulihara keselamatan dan ke­sihatan di tempat kerja dalam Majlis Anugerah MSOSH 2015 di Su­bang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Anugerah Gold Class II itu diberikan kepada Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) UMP sebagai penghargaan atas kecemerlangannya melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik di tempat kerja.

Anugerah prestasi keselamatan dan kesihatan berkenaan memberi pengiktirafan kepada semua organisasi ahli atau syarikat-syarikat yang telah mencapai rekod kese­lamatan dan kesihatan terpuji termasuk peningkatan dalam proses keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi sistem keselamatan kukuh serta pengurusan kesihatan.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim menerima anugerah berkenaan dalam majlis itu yang turut dihadiri Dekan FKKSA universiti berkenaan, Zulkafli Hassan dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Muhammad Hairynizam Muhd. Taib.

Daing Nasir berkata, UMP me­rupakan satu-satunya universiti awam merangkul anugerah berprestij itu yang merupakan tanda penghargaan terhadap pencapaian staf fakulti di universiti ber­kenaan dalam mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja mereka.

“Menerusi pengiktirafan ini, ternyata makmal universiti ini mencapai penarafan menggunakan standard industri dan menjadi satu tanda aras baharu bagi amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di universiti ini,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Zulkafli berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada kakitangan dalam memperkasa pelaksanaan budaya kerja selamat dan sihat di fakulti tersebut, malah memberi nilai tambah kepada mahasiswa UMP.

– Sumber : Utusan online

Permata cari kanak-kanak pintar

ROSMAH MANSOR beramah mesra dengan kanak-kanak Permata dalam majlis

ROSMAH MANSOR beramah mesra dengan kanak-kanak Permata dalam majlis pelancaran program Perkhemahan Pintar dan Berbakat Permata Negara di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut hadir Saidatul Akhma Hassan (kiri), Siti Azizah Sheikh Abod (dua dari kiri), Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (empat dari kanan) dan Noriah Mohd. Ishak (dua dari kanan). BERNAMA

PUTRAJAYA 23 Ogos – Program Permata Negara (Permata) sedang mengenal pasti kanak-kanak pintar berumur antara dua dan empat tahun untuk menyertai program khas Perkhemahan Pintar dan Berbakat Permata Negara pada November ini.

Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bagi tujuan itu, kanak-kanak yang berminat perlu menjalani satu ujian tahap kecergasan minda (IQ) menerusi Ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak Permata (PCIS) di laman web pcis.upsi-ukm.edu.my yang akan dibuka untuk tempoh dua bulan bermula 27 Ogos ini.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata, pemilihan ditentukan berdasarkan skor yang akan dicapai kanak-kanak itu di dalam ujian PCIS tersebut.

“Kanak-kanak yang berjaya mencapai skor PCIS yang ditetapkan akan dipelawa menghadiri Perkhemahan Sains Kanak-Kanak 2016 pada November ini selama lima hari. Pelajar akan didedahkan dalam bidang Biologi, Kimia, Kejuruteraan, Fizik dan Forensik.

“Secara umumnya, perkhemahan tersebut bertujuan membantu kanak-kanak pintar dan berbakat membina kebolehan dan minat mereka terhadap pembelajaran Sains,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Permata, Datuk Saidatul Akhma Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod; Perunding Kanan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak.

Rosmah berkata, perkhemahan yang berbentuk harian itu dijalankan mengikut zon iaitu zon utara (Alor Setar, Kedah); zon tengah (Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak); zon selatan (Kolej Permata Pintar, Selangor); zon timur (Kuala Terengganu) dan Sabah serta Kuching, Sarawak.

Katanya, ujian PCIS dan kem itu dikendalikan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) di UPSI dan Pusat Permata Pintar.

– Sumber : Utusan online