Malaysia anjur Perkhemahan Sains untuk kanak-kanak

PUTRAJAYA: Malaysia menjadi negara pertama mengambil inisiatif menganjurkan program Perkhemahan Sains membabitkan kanak-kanak seawal usia dua hingga empat tahun. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sebelum dipilih sebagai peserta program itu, kanak-kanak terbabit perlu menjalani ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak PERMATA (PCIS) yang bertujuan menilai tahap kepintaran mereka pada usia berkenaan. “Secara umumnya, perkhemahan ini bertujuan membantu kanak-kanak pintar dan berbakat membina kebolehan serta minat mereka dalam pembelajaran sains. “Pemerhatian akan dilakukan oleh guru semasa perkhemahan itu bagi menilai kanak-kanak pintar ini menunjukkan minat yang tinggi terhadap persekitaran dan pembelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Pintar dan Berbakat PERMATA Negara di Seri Perdana, di sini, hari ini. Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA, berkata kanak-kanak yang mencapai PCIS yang ditetapkan akan dipelawa untuk menghadiri perkhemahan berkenaan yang dijadual berlangsung November ini. “Peserta akan mengikuti perkhemahan selama lima hari. Mereka akan didedahkan dalam bidang biologi, kimia, kejuruteraan, fizik dan forensik. “Program akan dijalankan mengikut lima zon, iaitu di Alor Setar, Kedah; Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak; Kolej PERMATA Pintar, Selangor; Kuala Terengganu dan Kuching, Sarawak,” katanya. Ujian PCIS bermula Khamis ini yang boleh dilayari di laman sesawang pcis.upsi-ukm-edu.my.

Sumber: Berita Harian