PLC di sekolah perlu diperkasa

TIMBALAN Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Tajuddin Jab merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Ke-22 dan Persidangan Gabungan Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-34 di Kota Bharu, hari ini. – Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan mahu semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mengikuti konsep Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan dalam sekolah. Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Tajuddin Jab, berkata semua 10,179 sekolah yang mengamalkan sistem itu perlu terus diperkasakan kerana ia mampu menaik taraf sistem pendidikan di negara ini. Katanya, PLC adalah konsep kepimpinan bersama di antara guru besar dan pihak sekolah yang diperkasakan dalam sistem pendidikan negara sejak tahun lalu. “Walaupun ia (PLC) sudah lama diamalkan, ia perlu dimantapkan untuk meningkatkan keupayaan setiap warga sekolah. PLC juga mampu memberi impak dalam penyelesaian masalah yang dihadapi sekolah menerusi konsep kebersamaan yang diamalkan. “Pembelajaran dan pengajaran (P&P) juga dapat ditingkatkan menerusi konsep ini kerana mereka (guru besar) boleh berkongsi pengalaman dan idea,” katanya ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Ke-22 dan Persidangan Gabungan Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-34 di sini, hari ini. Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek berjumlah RM76,740.73 iaitu pampasan tuntutan kematian kepada Ahmad Latfi Mat iaitu bapa kepada Mursyida, yang terkorban bersama enam keluarga yang lain dalam kemalangan jalan raya di Gua Musang pada 4 Julai lalu. Mursyida adalah ahli Skim Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Yayasan UTP, Yayasan Peneraju peruntuk biasiswa RM14j

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) dan Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menjalin kerjasama memperuntukkan biasiswa RM14 juta untuk 100 pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran. Kerjasama strategik untuk tempoh lima tahun itu dimeterai dalam majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Timbalan Pengerusi Yayasan UTP, Juniwati Rahmat Hussin dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju), Raja Azura Raja Mahayuddin, sebentar tadi. Turut hadir, Pengarah Strategi dan Perjanjian Yayasan Peneraju, Novie Tajuddin serta Setiausaha Agung Yayasan UTP, Nuraini Ismail. Terdahulu, Raja Azura ketika menyampaikan ucaptamanya berkata, kerjasama memperuntukkan bantuan kewangan kepada Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi adalah selaras agenda nasional dalam mewujudkan penduduk berpendapatan tinggi. “Kita sedar Malaysia mempunyai ramai pelajar dengan potensi yang tinggi, namun mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran kerana pelbagai faktor, khususnya kekangan kewangan. “Sehubungan itu, peruntukan biasiswa seperti ini akan memberi sinar baharu kepada mereka untuk mengubah sosioekonomi keluarga ke arah masa depan yang lebih terjamin,” katanya. Yayasan Peneraju setakat ini menyediakan biasiswa kepada 10,000 penerima, iaitu 25 peratus daripada 40,000 pelajar Bumiputera dengan nilai peruntukan dana pelajaran RM206 juta menjelang tahun 2020.

Sumber: Berita Harian

Kemudahan prasarana Tabika KEMAS jadi keutamaan

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan kanak-kanak pada majlis pelancaran Program Transformasi Fasa Pertama Tabika KEMAS di Kompleks Belia dan Sukan di Paroi di sini, hari ini. – Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Pelan strategik untuk meningkatkan kemudahan prasarana 11,188 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan dilancarkan Oktober ini. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelan itu adalah antara usaha kerajaan meningkatkan kualiti Tabika KEMAS yang diperkenalkan melalui Program Transformasi Luar Bandar, tahun lalu. Katanya, usaha itu penting kerana masih ada Tabika yang tidak mempunyai bangunan sendiri dan sebaliknya menumpang di balai raya atau dewan orang ramai. “Selain itu, pelan itu menumpukan usaha untuk menambah peralatan pembelajaran bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di Tabika KEMAS. “Sebagai contoh papan putih interaktif, iaitu peralatan yang dapat menarik minta murid belajar hanya ada di 126 tabika,” katanya ketika melancarkan Program Transformasi Fasa Pertama Tabika KEMAS di Kompleks Belia dan Sukan di Paroi di sini, hari ini. Tahun ini, katanya KEMAS menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta untuk membaiki pulih bangunan Tabika sedia ada yang kira-kira 80 peratus terletak di kawasan luar bandar. Sementara itu, katanya pemantapan pembelajaran bahasa Inggeris akan menjadi keutamaan dalam fasa kedua Program Transformasi Tabika KEMAS yang dijangka bermula pada tahun 2019. Katanya, ini membolehkan murid Tabika KEMAS mempunyai asas penguasaan bahasa itu yang mantap apabila memasuki sekolah rendah.

Sumber: Berita Harian

Sistem pendidikan Kolej Vokasional diperkasa

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kiri) mendengar penerangan tentang kitaran asas penghawa dingin kereta daripada pelajar, Muhd Aniq Noh, (tiga dari kanan) ketika melawat pameran selepas merasmikan Program Melestarikan Pendidikan Vokasional menjangkau lima tahun ‘Jom Masuk PAV’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala. – Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Bermula tahun depan, sistem pendidikan Kolej Vokasional akan diperkasakan dengan penyusunan kursus secara berperingkat mengikut kesesuaian lokasi. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya akan memasukkan kursus tertentu dalam sistem pendidikan kolej vokasional bagi memastikan keperluan tenaga mahir dapat disalurkan secara terus. Katanya, ia akan membabitkan pertukaran dan pertambahan kursus secara berperingkat kerana sistem sudah ada cuma memerlukan sedikit sentuhan bagi memperkasakan sistem sedia ada. “Pengajian vokasional akan dipadankan agar bersesuaian dengan kawasan Kolej Vokasional. Misalnya, Langkawi akan mempunyai kursus kulinari, hospitaliti dan pelancongan. “Kawasan Kulim akan mempunyai kursus berkaitan perindustrian, manakala Wilayah Iskandar, Johor membabitkan teknologi maklumat (IT). Bintulu dan Miri, Sarawak, pula sesuai dengan kursus minyak dan gas,” katanya selepas merasmikan Program Melestarikan Pendidikan Vokasional menjangkau lima tahun ‘Jom Masuk PAV di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Sekolah perlu kreatif kekalkan kebersihan tandas

MAHDZIR merasmikan Persidangan Pengurusan Kebangsaan Pendidikan Pegawai Pendidikan Daerah sambil diperhatikan Khair (tiga dari kiri) dan Misnan (dua dari kiri) di Langkawi, malam tadi. – Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Pengurusan sekolah diminta proaktif dan kreatif melaksanakan strategi bagi meningkatkan kebersihan dan budaya penggunaan tandas yang berkualiti di sekolah masing-masing. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah itu perlu bagi mewujudkan transformasi sikap dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih dan selamat. “Pada peringkat permulaan ini, pelaksanaan inisiatif ini dilakukan secara sukarela oleh pengurusan sekolah di seluruh negara dan tidak membabitkan sebarang bentuk hukuman kepada mana-mana pihak. “Bagaimanapun ia (budaya bersih tandas) akan diangkat menjadi agenda kebangsaan bagi kementerian awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kebangsaan Pendidikan Pegawai Pendidikan Daerah di sini, malam tadi. Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan dan Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia, Misnan Mohd Damin. Mahdzir berkata, sehingga kini pihak kementerian belum merancang memberi sebarang insentif kepada pengurusan sekolah untuk melaksanakan inisiatif baharu itu. “Saya difahamkan sekarang sudah ada sekolah yang memiliki tandas bertaraf lima bintang. Jadi, untuk permulaan ini, sekolah buat dahulu secara sukarela,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia anjur Perkhemahan Sains untuk kanak-kanak

PUTRAJAYA: Malaysia menjadi negara pertama mengambil inisiatif menganjurkan program Perkhemahan Sains membabitkan kanak-kanak seawal usia dua hingga empat tahun. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sebelum dipilih sebagai peserta program itu, kanak-kanak terbabit perlu menjalani ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak PERMATA (PCIS) yang bertujuan menilai tahap kepintaran mereka pada usia berkenaan. “Secara umumnya, perkhemahan ini bertujuan membantu kanak-kanak pintar dan berbakat membina kebolehan serta minat mereka dalam pembelajaran sains. “Pemerhatian akan dilakukan oleh guru semasa perkhemahan itu bagi menilai kanak-kanak pintar ini menunjukkan minat yang tinggi terhadap persekitaran dan pembelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Pintar dan Berbakat PERMATA Negara di Seri Perdana, di sini, hari ini. Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA, berkata kanak-kanak yang mencapai PCIS yang ditetapkan akan dipelawa untuk menghadiri perkhemahan berkenaan yang dijadual berlangsung November ini. “Peserta akan mengikuti perkhemahan selama lima hari. Mereka akan didedahkan dalam bidang biologi, kimia, kejuruteraan, fizik dan forensik. “Program akan dijalankan mengikut lima zon, iaitu di Alor Setar, Kedah; Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak; Kolej PERMATA Pintar, Selangor; Kuala Terengganu dan Kuching, Sarawak,” katanya. Ujian PCIS bermula Khamis ini yang boleh dilayari di laman sesawang pcis.upsi-ukm-edu.my.

Sumber: Berita Harian