Pelajar MRSM Kuantan juara SIR RHB-NST

PEMENANG utama SIR RHB-NST, Noor Dalilah (tengah) bersama pemenang tempat kedua, Afifah Zahirah (kanan) dan M Muthu di tempat ketiga. – Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Penyertaan kali kedua membawa tuah kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Noor Dalilah Jafri Ahmad apabila muncul juara pertandingan mengeja Spell It Right (SIR) anjuran RHB-New Straits Times (NST) 2016 peringkat negeri kategori sekolah menengah di sini, hari ini. Kemenangan itu membolehkan Noor Dalilah, 15, menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penyertaan. Seramai 100 pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri ini menyertai pertandingan mengeja dalam bahasa Inggeris itu. Pelajar Tingkatan Tiga berasal dari Kubang Buaya, berkata penyertaannya dalam pertandingan itu bermula secara suka-suka tetapi tidak menyangka muncul juara kategori sekolah menengah peringkat negeri. “Ketika masuk pertandingan kali kedua, saya tidak jangka menang sebab saya hanya mahu mencabar diri serta meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris. PEMENANG utama SIR RHB-NST, Noor Dalilah (tengah) bersama pemenang tempat kedua, Afifah Zahirah (kanan) dan M Muthu di tempat ketiga. – Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir Memang cabaran sengit kerana terpaksa bersaing dengan pelajar lain yang sudah banyak kali menyertai pertandingan ini dan masing-masing memiliki kehebatan tersendiri. “Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada saya dan ia menaikkan semangat untuk membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan di Bangsar, Kuala Lumpur pada 1 Oktober nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Tempat kedua dimenangi pelajar dari MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Afifah Zahirah Arnizan manakala M Muthu Subramanian dari SMK Abdul Rahman Talib di tempat ketiga. Mereka masing-masing menerima wang tunai RM2,500 dan RM2,000. Yang turut hadir ialah Eksekutif RHB Bank Bahagian Air Putih, Syed Ahmad Sahaimee Syed Mohd dan Auditor Media Prima Berhad, Mariana Manan.

MARIANA (empat dari kiri) dan Syed Ahmad Sahaimee (kiri) bersama sebahagian pemenang SIR RHB-NST di Kuantan. – Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sumber: Berita Harian