Kontrak tamat serta-merta jika keracunan di sekolah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringgi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad (kiri) memukul gong sebagai gimik perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Petani sambil diperhatikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Senator Shahanim Mohd Yusof (tiga kanan). – Foto Ezairi Shamsudin

GOPENG: Kementerian Pendidikan mencadangkan agar perkhidmatan kontraktor makanan di sekolah ditamatkan serta-merta jika berlaku insiden keracunan makanan, pada masa depan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya akan mencadangkan klausa baharu dimasukkan dalam kontrak pembekalan dan penyediaan makanan di sekolah pada masa hadapan yang membolehkan kontrak ditamatkan serta-merta jika berlaku insiden berkenaan. “Ketika ini, tiada klausa berkenaan dalam kontrak sebaliknya hanya amaran dan jika kerap berlaku, baru perkhidmatan syarikat terbabit ditamatkan. “Kita memandang serius kes keracunan di sekolah kerana ia membabitkan golongan pelajar, justeru mahu tindakan lebih tegas dikuatkuasakan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gopeng di sini, hari ini. Pada Rabu lalu, seramai 53 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar apabila mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah di dewan makan sekolah berasrama penuh itu. Mahdzir berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan lebih teliti di peringkat kementerian itu bagi membolehkan penambahan klausa baharu dalam kontrak itu dapat dikuatkuasakan.

Sumber: Berita Harian