SMK Labuan juara pertandingan NSC

NSC

PEMENANG National Science Challenge Grand Final 2016 , pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, (dari kiri) Tan Yong Li, Elena Kang Ren Wei, Kok Hui Taok dan guru Nur Farhanah Mohamed Ibrahim (kanan) menunjukkan anugerah yang diterima pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah National Science Challenge Grand Final 2016 di UKM Bangi hari ini . – UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan muncul juara pertandingan Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) selepas menewaskan tiga sekolah lain.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah  pula muncul naib juara, tempat ketiga dirangkul MRSM Tun Abdul Razak, Pahang manakala keempat (Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu) dalam pertandingan NSC yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini.

Pertandingan membabitkan pelajar tingkatan empat aliran sains itu anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM), ExxonMobil dan Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST).

Pemenang pertama menerima Piala Cabaran Perdana Menteri, iPad Mini dan lawatan sambil belajar ke Sweden.

Sementara tiga lagi pemenang dihadiahkan piala, telefon pintar dan lawatan sambil belajar ke Jepun.

Pada peringkat awal, 16 buah sekolah dari setiap negeri mengambil bahagian, sebelum empat mara ke peringkat akhir.

Pada tahun ini NSC berjaya menarik minat lebih 1,000 buah sekolah di seluruh negara untuk berentap dalam saringan awal yang berbentuk kuiz dalam talian.

Pelajar-pelajar akan diuji pengetahuan mereka dalam bidang fizik, biologi, kimia, matematik serta sains dan teknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata, program seperti NSC akan membantu mencipta kesedaran lebih besar tentang kepentingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta membangunkan bakat baharu untuk mencapai aspirasi negara ke arah menjayakan keperluan tenaga kerja STEM.

“Pelajar perlu sedar bahawa sains bukan saja menyeronokkan tetapi banyak perkara baharu dan kerjaya menarik hari ini seperti usahawan teknologi selaras dengan pembangunan dalam bidang STEM,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut di sini.

Madius berharap mereka yang profesional dalam STEM akan membantu Malaysia dan mencipta generasi baharu saintis, penyelidik, jurutera dan pereka yang diperlukan untuk pembangunan negara.

Sementara itu, guru pengiring pelajar SMK Labuan, Nur Farhanah Mohamed Ibrahim berkata, menerusi kuiz itu, pelajarnya menghasilkan satu aplikasi yang mesra alam.

“Soalan kuiz juga sangat sukar dan memerlukan mereka berfikir di luar kotak yang tidak setaraf dengan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: