KKLW tingkatkan aspek pendidikan Orang Asal

MENTERI Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra bersama Pelajar Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2016, di Putrajaya, hari ini. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang membina lebih banyak Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di setiap zon seluruh negara bagi menekankan pembangunan pendidikan masyarakat itu. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu turut diiringi tindakan memperkemas hubungan dan kerjasama dengan rakan sinergi seperti Kementerian Pelajaran, yang akan diperkukuh dan diteruskan. Katanya, peranan agensi di bawah KKLW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga akan terus digembleng bagi meningkatkan akses masyarakat Orang Asli kepada pendidikan secara berterusan. “Semua pelajar yang dipilih tinggal di PIPOA ini, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, akan diberi pendedahan awal dan latihan intensif untuk menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT-3). “Sekarang, kita mempunyai PIPOA di Rompin, Pahang yang mula beroperasi pada 2012 dan sebuah lagi akan dibuka di Terengganu dalam masa terdekat,” katanya pada selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pelajar Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2016, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri II KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Jamaludin Kasbi. Seramai 12 pelajar Orang Asli yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara diraikan pada majlis itu. Ismail Sabri berkata, program penghantaran pelajar Orang Asli itu bermula pada 2010 dan hingga tahun lalu, 54 orang pelajar sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sumber: Berita Harian