Kaji bina sekolah guna IBS

Mahdzir Khalid menyerahkan Piala Literasi Dunia kepada Hamzah

Mahdzir Khalid menyerahkan Piala Literasi Dunia kepada Hamzah Majid (kiri) sambil diperhatikan Freida Mohd. Pilus dan Paul McMohan di Putrajaya, semalam

PUTRAJAYA 17 Ogos – Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula kaedah pembinaan sekolah secara konvensional yang dilihat menelan kos besar dan menggunakan ruang secara berlebihan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berpendapat penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) merupakan langkah ke hadapan untuk pembinaan sekolah di negara ini.

Beliau berkata, kaedah IBS yang menelan peruntukan antara RM10 juta hingga RM15 juta untuk pembinaan sekolah 24 bilik darjah ternyata jauh lebih murah berbanding kaedah konvensional yang memerlukan peruntukan kira-kira RM50 juta.

“Saya sedang fikir untuk beker­jasama dengan kumpulan fokus daripada JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk tengok balik pembinaan sekolah secara konvensional ini.

“Zaman sudah berubah, kita ti­dak perlu sekolah yang rekaan berlebihan, ruang di sana sini. Kita hanya perlu bangunan untuk kegunaan sekolah, jadi kalau kita menggunakan IBS, mungkin peruntukannya tidak sampai RM50 juta atau RM60 juta untuk satu sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sele­pas menyempurnakan majlis penyerahan Trofi Literasi Dunia 2015 kepada Sekolah Cempaka yang mencapai kejayaan demikian da­lam pertandingan World Education Games anjuran 3PLearning tahun lalu.

Yang hadir sama Pengerusi Sekolah Cempaka, Datuk Hamzah Majid; pengasasnya, Datuk Freida Mohd. Pilus; Pengarah Rantau Asia 3PLearning, Paul McMahon dan dua murid Sekolah Cempaka yang menjadi juara pertandingan tahun lalu iaitu Leong Zhi Yen, 7, untuk kategori tadika dan Sydny Lum Shen Li, 12, kategori darjah enam.

Mengenai keperluan kementeriannya dalam Bajet 2017, Mahdzir memberitahu, keutamaan pi­haknya adalah untuk memperbaiki sekolah daif di seluruh negara.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: