UPM memeterai MoA dengan Chulalongkorn University

TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Samsudin (kiri) melihat Dekan Fakulti Sains, Prof Madya Dr Polkit Sangvanich menandatangani MoA di pejabat Naib Canselor, bangunan pentadbiran UPM, Serdang hari ini.

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Chulalongkorn University, Thailand sebentar tadi bagi menggalakkan pertukaran akademik antara kedua-dua fakulti. MoA itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Samsudin, manakala Chulalongkorn University pula diwakili oleh Dekan Fakulti Sains, Prof Madya Dr Polkit Sangvanich. MoA itu diadakan di pejabat Naib Canselor, bangunan pentadbiran UPM. MoA itu merangkumi pertukaran kakitangan akademik dan pelajar termasuk bacelor dan pascasiswazah, pembangunan program pengajian di luar negara, penyeliaan bersama untuk pelajar pascasiswazah dan pelbagai faedah lain. Ia juga bertujuan untuk memulakan jaringan antara penyelidik dari kedua-dua universiti khususnya dalam bidang berkaitan bioteknologi ke arah memantapkan penyelidikan bersama.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

SOP baharu sukan air di sekolah

DATUK Seri Mahdzir Khalid pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Trofi Kemenangan `World Literacy Day’ kepada Sekolah Cempaka di Putrajaya, hari ini. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi kokurikulum membabitkan sukan air di sekolah. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan SOP baharu itu akan dibentang pada mesyuarat peringkat pengurusan profesional kementerian dan pekeliling baharu akan dikeluarkan jika dipersetujui. “Pekeliling ini akan mengandungi syarat baharu, contohnya untuk membawa pelajar menjalankan aktiviti di sungai. Ia akan dikeluarkan untuk semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Trofi Kemenangan `World Literacy Day’ kepada Sekolah Cempaka di sini, hari ini. Pada 12 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di seluruh negara menangguhkan kegiatan kokurikulum membabitkan aktiviti air berkuat kuasa serta-merta berikutan kematian seorang guru akibat jangkitan kencing tikus di Kedah, baru-baru ini. Sementara itu, Mahdzir berkata, kementerian akan memberi lebih tumpuan bagi membantu sekolah daif dan penyelenggaraan di sekolah yang memerlukan menerusi Bajet 2017.

Sumber: Berita Harian

KKLW tingkatkan aspek pendidikan Orang Asal

MENTERI Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra bersama Pelajar Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2016, di Putrajaya, hari ini. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang membina lebih banyak Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di setiap zon seluruh negara bagi menekankan pembangunan pendidikan masyarakat itu. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu turut diiringi tindakan memperkemas hubungan dan kerjasama dengan rakan sinergi seperti Kementerian Pelajaran, yang akan diperkukuh dan diteruskan. Katanya, peranan agensi di bawah KKLW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga akan terus digembleng bagi meningkatkan akses masyarakat Orang Asli kepada pendidikan secara berterusan. “Semua pelajar yang dipilih tinggal di PIPOA ini, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, akan diberi pendedahan awal dan latihan intensif untuk menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT-3). “Sekarang, kita mempunyai PIPOA di Rompin, Pahang yang mula beroperasi pada 2012 dan sebuah lagi akan dibuka di Terengganu dalam masa terdekat,” katanya pada selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pelajar Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2016, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri II KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Jamaludin Kasbi. Seramai 12 pelajar Orang Asli yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara diraikan pada majlis itu. Ismail Sabri berkata, program penghantaran pelajar Orang Asli itu bermula pada 2010 dan hingga tahun lalu, 54 orang pelajar sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sumber: Berita Harian

Inovasi UTM bantu IKS tingkat produktiviti

Noraini Margono, (tiga dari kanan) melakukan proses pembungkusan

Noraini Margono, (tiga dari kanan) melakukan proses pembungkusan menggunakan mesin pembungkusan pes berpastur sambil diperhatikan Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin (dua dari kiri) di kilang pembuatan Pes Mak Nani di Jalan Seniman 9, Tampoi, semalam.

JOHOR BAHRU 17 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta mesin pembungkusan pes berpastur bertujuan membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam proses pembungkusan serta pempasturan produk mereka.

Inovasi terbaharu sekumpulan penyelidik terdiri daripada pensyarah dan penuntut universiti awam itu bukan sahaja membantu mempercepatkan proses tersebut tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekatronik dan Kawalan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin berkata, mesin tersebut dibangunkan dalam tempoh enam bulan bermula Januari lalu.

Katanya, penyediaan mesin tersebut diselaraskan dengan kehendak dan spesifikasi pihak industri iaitu pengusaha yang terlibat dalam bidang pembungkusan pes makanan bebas bahan pengawet.

“Mesin ini bukan sekadar membungkus pes disediakan, tetapi turut melibatkan proses mempastur bertujuan untuk menghasilkan pes makanan berkualiti tanpa penggunaan bahan pengawet.

“Selain itu, mesin ini turut menyukat jumlah pes yang hendak dibungkus mengikut kehendak penggunanya,” katanya dalam sidang akhbar mengenai mesin tersebut di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, di sini hari ini.

Mesin tersebut menggunakan kaedah pendidihan berganda, dilengkapi sistem pemanas elektrik dan gas yang dikawal secara hibrid menggunakan pengawal automatik sebelum dibungkus mengikut berat tertentu.

Mohamad Shukri berkata, pihaknya bercadang untuk mengkomersialkan produk berkenaan dalam waktu terdekat bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan dalam industri berkaitan.

Sementara itu, pengusaha terpilih menerima mesin tersebut, Noraini Margono, 60, berkata, penggunaan mesin itu memberikan kesan positif terhadap perniagaannya terutama peningkatan produktiviti produknya.

“Sebelum ini, saya hanya berupaya menyiapkan sebanyak 50 bungkus pes makanan sehari namun dengan adanya mesin ini, jumlah tersebut dapat dipertingkatkan sehingga melebihi 200 bungkus sehari,” ujarnya.

– Sumber : Utusan online

Permata Pintar kongsi kepakaran dengan negara luar

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Malaysia sedia menghantar tenaga pe­ngajar ke negara Asia Barat bagi berkongsi ke­pakaran dalam bidang pendidikan menerusi pro­gram Permata Pintar.

Dr. Noriah Mohd. Ishak
Dr. Noriah Mohd. Ishak

Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak berkata, penghantaran tenaga pengajar itu dibuat bagi memastikan pedagogi yang diamalkan dapat diadaptasi secara berkesan dan menya­mai konsep yang digunakan di negara ini.

“Kita mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan asas sejak tujuh tahun lalu dan tidak keberatan untuk berkongsinya selain bersedia menjadi mentor kepada negara-negara Islam.

“Buat masa ini kita belum memutuskan untuk menghantar tenaga pengajar ke mana-mana negara memandangkan ia hanya dapat diputuskan selepas mesyuarat jawatankuasa yang akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi dalam masa terde­kat,” katanya selepas menutup Persidangan Antarabangsa Persatuan Pembangunan Bakat (IATD) yang dianjurkan oleh Pu­sat Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden IATD, Prof. Dr. Dawood A. Al Hidabi dan Timbalan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof. Madya Dr. Mohd. Arif Ismail. Noriah berkata, buat masa ini sebanyak lima buah negara iaitu Arab Saudi, Tunisia, Jordan dan Libya menyatakan ke­sediaan untuk menerima tenaga pengajar dari Malaysia dalam usaha memantapkan lagi pendidikan di negara mereka. Sementara itu, peserta dari Arab Saudi Saudi, Salah Abdul Jalil melahirkan perasaan bangga dapat menyertai persidangan tersebut dan mengakui tidak sabar untuk mengadaptasi ilmu yang diperoleh ke tanah airnya. “Di negara kami, tiada pendidikan awal disediakan walaupun ia adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian. Persidangan ini ‘membuka mata’ kami untuk memberi perhatian yang lebih mendalam mengenai pembangunan pendidikan terutama pendidikan asas,” ujarnya. Salah bagaimanapun me­ngakui Arab Saudi berdepan dengan masalah untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan program seperti Permata Pintar.

– Sumber : Utusan online

Kaji bina sekolah guna IBS

Mahdzir Khalid menyerahkan Piala Literasi Dunia kepada Hamzah

Mahdzir Khalid menyerahkan Piala Literasi Dunia kepada Hamzah Majid (kiri) sambil diperhatikan Freida Mohd. Pilus dan Paul McMohan di Putrajaya, semalam

PUTRAJAYA 17 Ogos – Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula kaedah pembinaan sekolah secara konvensional yang dilihat menelan kos besar dan menggunakan ruang secara berlebihan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berpendapat penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) merupakan langkah ke hadapan untuk pembinaan sekolah di negara ini.

Beliau berkata, kaedah IBS yang menelan peruntukan antara RM10 juta hingga RM15 juta untuk pembinaan sekolah 24 bilik darjah ternyata jauh lebih murah berbanding kaedah konvensional yang memerlukan peruntukan kira-kira RM50 juta.

“Saya sedang fikir untuk beker­jasama dengan kumpulan fokus daripada JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk tengok balik pembinaan sekolah secara konvensional ini.

“Zaman sudah berubah, kita ti­dak perlu sekolah yang rekaan berlebihan, ruang di sana sini. Kita hanya perlu bangunan untuk kegunaan sekolah, jadi kalau kita menggunakan IBS, mungkin peruntukannya tidak sampai RM50 juta atau RM60 juta untuk satu sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sele­pas menyempurnakan majlis penyerahan Trofi Literasi Dunia 2015 kepada Sekolah Cempaka yang mencapai kejayaan demikian da­lam pertandingan World Education Games anjuran 3PLearning tahun lalu.

Yang hadir sama Pengerusi Sekolah Cempaka, Datuk Hamzah Majid; pengasasnya, Datuk Freida Mohd. Pilus; Pengarah Rantau Asia 3PLearning, Paul McMahon dan dua murid Sekolah Cempaka yang menjadi juara pertandingan tahun lalu iaitu Leong Zhi Yen, 7, untuk kategori tadika dan Sydny Lum Shen Li, 12, kategori darjah enam.

Mengenai keperluan kementeriannya dalam Bajet 2017, Mahdzir memberitahu, keutamaan pi­haknya adalah untuk memperbaiki sekolah daif di seluruh negara.

– Sumber : Utusan online