UMP, KTYS jalin kerjasama akademik

Daing Nasir (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Tarsiah T.

Daing Nasir (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Tarsiah T. Z. Zaman (dua dari kiri) dalam Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UMP dan KTYS di Hotel Pullman, Putrajaya, baru-baru ini. Turut kelihatan Dr. Mohd. Ridzuan Darun (kanan) dan Waky Taim (kiri).

KUANTAN 16 Ogos – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dalam kerjasama akademik bagi program asasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ia melibatkan tiga program kejuruteraan Jerman-UMP hasil kerjasama dari Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman yang menawarkan program dwiijazah.

Pemeteraian MoA itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri universiti itu, Dr. Mohd. Ridzuan Darun yang mewakili UMP manakala KTYS diwakili Ketua Eksekutifnya, Datin Tarsiah T.Z. Zaman dan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Sumber Manusia kolej tersebut, Waky Taim di di Hotel Pullman, Putrajaya baru-baru ini.

Tarsiah berkata, KTYS menghargai komitmen UMP yang mana Yayasan Sabah turut mempertimbangkan tajaan biasiswa kepada penuntut cemerlang yang memenuhi kriteria kelayakan serta ditawarkan untuk program kerjasama itu.

Pada masa ini, katanya, KTYS dalam usaha menaik taraf institusi pengajian itu kepada Kolej Universiti Teknikal Yayasan Sabah pada 2018.

”Diharapkan kerjasama ini dapat merealisasikan hasrat kolej dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Daing Nasir yang menyambut baik kerjasama berkenaan berharap lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang-bidang lain dapat diusahakan bagi manfaat kedua-dua pihak.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: