Transformasi minda 4C abad ke-21 Asah bakat dan potensi pelajar

Forum Ekonomi Dunia telah menggariskan kepentingan penguasaan elemen 4C iaitu Critikal Thinking and Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity pada semua peringkat pengajian. Ini memberikan gambaran cabaran globalisasi bergerak pantas mengikut arus kemodenan dunia.

Selain itu, senarai sepuluh kemahiran utama yang diperlukan oleh majikan dengan elemen penyelesaian masalah berada di tangga pertama menjelang tahun 2020 berdasarkan peranan dan fungsi elemen 4C ini.

Beriltizam untuk memastikan elemen 4C ini dilaksanakan, pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Transformasi Minda Mahasiswa 4C (TMM4C) buat julung kalinya menganjurkan program 4C yang diadakan baru-baru ini.

Program dalam fasa pertama ini melibatkan 18 pelajar FKEE tahun pertama dan kedua masing-masing itu melakukan transformasi minda program yang dijalankan dengan kerjasama pensyarah dan pengurusan kakitangan universiti.

Pelbagai aktiviti bagi menajamkan elemen 4C diketengahkan, antaranya sesi berkaitan matematik kejuruteraan dan aplikasinya, pengaturcaraan MATLAB, pendawaian elektrik, pembangunan dan pengujian litar elektronik serta reka bentuk litar elektronik.

Semua aspek ini dilihat sebagai kemahiran asas yang diperlukan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Tidak cukup dengan itu, elemen lain 4C juga diperkukuh menerusi sesi penyediaan slaid pembentangan, komunikasi yang melibatkan penulisan e-mel dan dokumen profesional serta melibatkan aspek kepimpinan dan kerja berpasukan.

Kemahiran pengucapan awam diberi penekanan dengan peserta diminta untuk berucap bagi meningkatkan kebolehan berkomunikasi.

Melalui program TMM4C, pelaksanaan projek berkumpulan dijalankan berdasarkan masalah (PBL) dengan tema yang dipilih berkaitan dengan masalah sistem fertigasi.

Para peserta diminta menjalankan integrasi antara komponen tenaga yang diperbaharui bersama objek rangkaian Internet (IoT) untuk produktiviti yang lebih tinggi.

Pelaksanaan TMM4C merupakan cetusan idea Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin yang menekankan aspek bakat dan potensi pelajar diasah secara kreattif dan inovatif dengan elemen 4C yang menjadi tonggak cabaran pendidikan abad ke-21.

Mohd. Noh berkata, usaha ke arah TMM4C yang cemerlang perlu dikembangkan kepada semua pelajar FKEE.

“Ini juga dilihat sebagai satu keistimewaan belajar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTHM yang menekankan aspek transformasi minda sebagai jenama fakulti itu ke arah melahirkan pendidikan berkualiti tinggi.

“Program TMM4C wajar diberikan kredit dan dikembangkan kepada semua peringkat untuk memperkukuh kecemerlangan pelajar yang dapat memenuhi kehendak negara dan pasaran global selari dengan aspirasi lonjakan pertama dalam Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia Pengajian Tinggi,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: