Tangani kemiskinan, ketidaksamarataan melalui sains – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sijil penghargaan

SULTAN NAZRIN muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sijil penghargaan Anugerah 2016 Penyelidikan Saintis Terbaik Malaysia kepada Mazlan Hashim (kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Madius Tangau. BERNAMA

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kemiskinan dan ketidaksama­rataan antara masyarakat mesti ditangani menerusi sains dan tek­nologi kerana kedua-dua ma­salah itu boleh menyebabkan konflik dan keganasan dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, teknologi sedia ada dan baharu boleh menghentikan kemusnah­an alam sekitar, mengurangkan atau menghapuskan penyakit serta menyumbang kepada pe­ningkatan tahap pembangunan manusia merentasi pelbagai komponen.

“Sumber-sumber tenaga di­perbaharui seperti tenaga suria contohnya, mampu mengubah kehidupan miskin bandar dan pedalaman sekiranya dapat dilaksanakan secara efektif.

“Aplikasi-aplikasi inovatif pintar terutama dalam mekanisme pembayaran pula dapat memberi impak yang sangat positif. Aplikasi sains dan teknologi juga boleh membina keamanan dan kestabilan,” titah baginda sewaktu merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Untuk Ke­amanan di Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan Pre­si­den Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Sultan Nazrin turut menyampaikan sijil pengiktirafan Penyelidikan Saintis Terbaik Malaysia (TRSM) kepada 10 penyelidik tempatan.

Mereka ialah Prof. Dr. Azman Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Prof. Ir. Dr. Dominic Foo Chwan Yee (University of Nottingham, Malaysia); Prof. Dr. Latiffah Abdul Latiff (Universiti Putra Malaysia); Prof. Dr. Liong Min Tze ( Universiti Sains Malaysia) dan Dr. Loh Soh Kheang dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Dr. Mazlan Hashim (UTM); Prof. Dr. Noor Hayaty Abu Kassim (Universiti Malaya); Prof. Madya Dr. Suzana Yusup (Universiti Teknologi Petronas); Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman (UTM) dan Prof. Dr. Yvonne Lim Ai Lian dari Universiti Malaya.

Sultan Nazrin bertitah, inovasi dalam sains dan teknologi me­rentasi spektrum memiliki potensi yang besar untuk menangani sekurang-kurangnya be­­berapa cabaran yang dihadapi pada waktu ini, namun dalam masa sama potensi itu boleh dihalang oleh kehendak politik dan realiti ekonomi.

“Sains dan teknologi juga boleh disalah guna untuk menjana keganasan berbanding menonjolkan keamanan. Sekiranya perkembangan teknologi dan saintifik menyumbang kepada keamanan dan pembangunan, ia mesti diurus secara efektif berbanding waktu sekarang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, sekiranya semua pihak serius untuk menjuarai keamanan, halangan-halangan konvensional perlu di­atasi selain menjalin lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dan menggunakan pendekatan bermanfaat terhadap tadbir urus global serta cabaran-cabarannya selain perancangan bersepadu dan tindakan sinergi.

“Sebagai contoh, ia memerlukan kepimpinan tanpa kompromi dan secara keseluruhannya pelbagai pihak berkepentingan bekerja bersama-sama bagi mencapai matlamat tersebut,” titah baginda.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: