Tumpu pelajaran, bukan sertai demonstrasi jalanan – Idris

MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Penuntut pengajian tinggi, khususnya Universiti Awam (UA) perlu menyedari amanah dipertanggungjawabkan untuk menghabiskan pengajian mengikut tempoh. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata keutamaan mahasiswa ialah menuntut ilmu dan bukannya menyertai demonstrasi jalanan hingga mengabaikan pelajaran di universiti. Katanya, kerajaan membelanjakan purata RM18,000 setahun untuk setiap mahasiswa yang menuntut di UA menggunakan dana awam. “Mahasiswa hanya perlu membayar RM2,000 manakala selebihnya iaitu RM16,000 adalah dana awam yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. “Kita risau pelajaran mereka akan terjejas jika terlalu asyik dengan gerakan demonstrasi jalanan dan kegiatan lain yang tidak memberi manfaat. “Contoh yang boleh kita ambil adalah insiden di Universiti Malaya (UM) sebelum ini hingga pagar utamanya hampir dirobohkan angkara demonstrasi jalanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2016, di sini, sebentar tadi. Idris mengulas cadangan mengadakan demonstrasi kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai ‘Gabungan #TangkapMO1’ di Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.

Sumber: Berita Harian

Advertisements