Sekolah uzur akan dibaik pulih – Mahdzir

TANJONG KARANG 14 Ogos – Semua sekolah berusia lebih 30 tahun yang berkeadaan uzur akan dibaik pulih bagi memberi lebih keselesaan selain memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerja-kerja baik pulih tersebut termasuk membina bangunan baharu, menggantikan sistem pendawaian elektrik dan membaik pulih dewan serta bilik darjah.

“Penyelenggaraan sekolah ini dibuat mengikut keutamaan dan tahap tertentu iaitu tahap sa­ngat­ perlu dan daif, tahap perlu penyelenggaraan dan tahap penyelenggaraan kecil,” katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun di sini, malam tadi.

Dalam majlis itu, Mahdzir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada sekolah berkenaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk menaik taraf pendawaian elektrik dan pembaikan dewan sekolah.

“Penyelenggaraan sekolah dikenal pasti melalui jabatan pendidikan negeri secara berperingkat-peringkat dan mengikut keutamaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Perlindungan Guru.

Menurut Mahdzir, pihaknya dan penasihat undang-un­dang ke­­menterian sedang mem­­buat pe­rincian berhubung akta tersebut yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Setiap rakyat di negara ini di­lindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang.

“Bagaimanapun untuk golo­ngan guru, kita perlukan satu akta yang dapat memberi perlindungan berfokus secara holistik kepada mereka,” tambahnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: