Pendekatan atasi beban guru hujung tahun ini

SEREMBAN 13 Ogos -Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid

SEREMBAN 13 Ogos -Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia beramah mesra bersama perwakilan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rasah hari ini. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Hasi Rusdi (kiri). –fotoBERNAMA

ALOR GAJAH 13 Ogos – Lebih 500,000 guru di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan akan mengumumkan hasil kajian dan pendekatan bagi mengatasi masalah beban kerja ditanggung guru, hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya memandang serius isu berkaitan masalah serta beban tugas bukan hakiki dihadapi guru dan sentiasa komited mencari jalan menyelesaikan isu tersebut.

“Pihak kementerian akan berbuat sesuatu untuk melihat kembali bagaimana tanggungjawab tugas hakiki dan juga tugas lain yang diberikan kepada guru termasuklah pengisian data dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Dewan Macap Umboo, Kampung Permai dekat sini yang turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Bagi menyelesaikan masalah pengisian data secara dalam talian, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

“Jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi melihat kembali mana satu yang dikekalkan untuk peringkat sekolah, mana satu dihantar ke peringkat Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Negeri dan yang mana satu perlu dihantar ke Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mahdzir berkata selain itu, kementeriannya juga mengambil perhatian terhadap masalah kebajikan lain dihadapi guru antaranya terdapat guru ‘berduka lara’ kerana terpisah lokasi bertugas dengan pasangan masing-masing.

“Sehingga tahun ini kami menerima 28,000 permohonan (untuk berpindah lokasi bertugas) dan sebanyak 4,267 permohonan diselesaikan sehingga kini,” katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan bahawa guru semakin tidak menyokong kerajaan, Mahdzir berkata guru sebenarnya menyokong kerajaan tetapi mereka meluahkan rasa keluh-kesah dengan beban tugas yang terpaksa mereka pikul selain daripada tugas hakiki.

“Saya melihat guru adalah rakan kerajaan yang komited dengan tugas dan memberi komitmen besar kepada tanggungjawab dan kerajaan…cuma mungkin ada perkara berkaitan dengan kebajikan guru, antaranya guru terpisah antara suami isteri agak lama dan beban tugas pengisian data secara online,” katanya. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: