Pacu kejuruteraan kimia lonjak penarafan universiti – Idris

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. – Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pemerkasaan bidang kejuruteraan, khususnya dalam industri kimia untuk melonjak penarafan universiti ke kelompok 100 teratas dunia. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setakat ini melakar pelbagai kejayaan serta berada di landasan tepat dalam bidang penyelidikan kejuruteraan kimia. Katanya, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) tidak ketinggalan dalam mengharumkan negara, khususnya menerusi penyelidikan kejuruteraan kimia dan bidang yang relevan dengan pasaran semasa. “Sehubungan itu, kita mahu universiti di Malaysia membuka pintu kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi lain, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa untuk meraih pelbagai manfaat. “Kita ingin meneroka bidang lain menerusi kolaborasi sama seperti kepemimpinan dan sains alam sekitar yang berupaya melonjak penarafan institusi pengajian tinggi. “Rantaian impak kejayaan ini akhirnya memacu kualiti institusi pengajian tinggi, selain menjana manfaat untuk kebaikan manusia sejagat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2016 di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Canselor UTP, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim. ESTCON 2016 bertema `Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Penumpuan Demi Masa Depan Yang Lestari’ yang berlangsung tiga hari hingga Rabu ini, turut membabitkan 1,200 peserta dari lebih 40 negara, selain 24 pempamer. Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pelbagai rangkaian kerjasama dan peluang inovasi untuk manfaat penggiat industri serta agensi diwujudkan sejak penganjuran pertama ESTCON pada tahun 2010. Kongres dwitahunan itu, katanya, turut memanfaatkan kumpulan penyelidik di negara ini kerana berpeluang membentangkan produk untuk penilaian panel antarabangsa, sekali gus melonjak peluang dalam menembusi pasaran global.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Tumpu pelajaran, bukan sertai demonstrasi jalanan – Idris

MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Penuntut pengajian tinggi, khususnya Universiti Awam (UA) perlu menyedari amanah dipertanggungjawabkan untuk menghabiskan pengajian mengikut tempoh. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata keutamaan mahasiswa ialah menuntut ilmu dan bukannya menyertai demonstrasi jalanan hingga mengabaikan pelajaran di universiti. Katanya, kerajaan membelanjakan purata RM18,000 setahun untuk setiap mahasiswa yang menuntut di UA menggunakan dana awam. “Mahasiswa hanya perlu membayar RM2,000 manakala selebihnya iaitu RM16,000 adalah dana awam yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. “Kita risau pelajaran mereka akan terjejas jika terlalu asyik dengan gerakan demonstrasi jalanan dan kegiatan lain yang tidak memberi manfaat. “Contoh yang boleh kita ambil adalah insiden di Universiti Malaya (UM) sebelum ini hingga pagar utamanya hampir dirobohkan angkara demonstrasi jalanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2016, di sini, sebentar tadi. Idris mengulas cadangan mengadakan demonstrasi kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai ‘Gabungan #TangkapMO1’ di Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.

Sumber: Berita Harian

Sekolah uzur akan dibaik pulih – Mahdzir

TANJONG KARANG 14 Ogos – Semua sekolah berusia lebih 30 tahun yang berkeadaan uzur akan dibaik pulih bagi memberi lebih keselesaan selain memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerja-kerja baik pulih tersebut termasuk membina bangunan baharu, menggantikan sistem pendawaian elektrik dan membaik pulih dewan serta bilik darjah.

“Penyelenggaraan sekolah ini dibuat mengikut keutamaan dan tahap tertentu iaitu tahap sa­ngat­ perlu dan daif, tahap perlu penyelenggaraan dan tahap penyelenggaraan kecil,” katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun di sini, malam tadi.

Dalam majlis itu, Mahdzir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada sekolah berkenaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk menaik taraf pendawaian elektrik dan pembaikan dewan sekolah.

“Penyelenggaraan sekolah dikenal pasti melalui jabatan pendidikan negeri secara berperingkat-peringkat dan mengikut keutamaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Perlindungan Guru.

Menurut Mahdzir, pihaknya dan penasihat undang-un­dang ke­­menterian sedang mem­­buat pe­rincian berhubung akta tersebut yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Setiap rakyat di negara ini di­lindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang.

“Bagaimanapun untuk golo­ngan guru, kita perlukan satu akta yang dapat memberi perlindungan berfokus secara holistik kepada mereka,” tambahnya.

– Sumber : Utusan online

Pendekatan atasi beban guru hujung tahun ini

SEREMBAN 13 Ogos -Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid

SEREMBAN 13 Ogos -Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia beramah mesra bersama perwakilan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rasah hari ini. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Hasi Rusdi (kiri). –fotoBERNAMA

ALOR GAJAH 13 Ogos – Lebih 500,000 guru di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan akan mengumumkan hasil kajian dan pendekatan bagi mengatasi masalah beban kerja ditanggung guru, hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya memandang serius isu berkaitan masalah serta beban tugas bukan hakiki dihadapi guru dan sentiasa komited mencari jalan menyelesaikan isu tersebut.

“Pihak kementerian akan berbuat sesuatu untuk melihat kembali bagaimana tanggungjawab tugas hakiki dan juga tugas lain yang diberikan kepada guru termasuklah pengisian data dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Dewan Macap Umboo, Kampung Permai dekat sini yang turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Bagi menyelesaikan masalah pengisian data secara dalam talian, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

“Jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi melihat kembali mana satu yang dikekalkan untuk peringkat sekolah, mana satu dihantar ke peringkat Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Negeri dan yang mana satu perlu dihantar ke Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mahdzir berkata selain itu, kementeriannya juga mengambil perhatian terhadap masalah kebajikan lain dihadapi guru antaranya terdapat guru ‘berduka lara’ kerana terpisah lokasi bertugas dengan pasangan masing-masing.

“Sehingga tahun ini kami menerima 28,000 permohonan (untuk berpindah lokasi bertugas) dan sebanyak 4,267 permohonan diselesaikan sehingga kini,” katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan bahawa guru semakin tidak menyokong kerajaan, Mahdzir berkata guru sebenarnya menyokong kerajaan tetapi mereka meluahkan rasa keluh-kesah dengan beban tugas yang terpaksa mereka pikul selain daripada tugas hakiki.

“Saya melihat guru adalah rakan kerajaan yang komited dengan tugas dan memberi komitmen besar kepada tanggungjawab dan kerajaan…cuma mungkin ada perkara berkaitan dengan kebajikan guru, antaranya guru terpisah antara suami isteri agak lama dan beban tugas pengisian data secara online,” katanya. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online

Tangani kemiskinan, ketidaksamarataan melalui sains – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sijil penghargaan

SULTAN NAZRIN muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sijil penghargaan Anugerah 2016 Penyelidikan Saintis Terbaik Malaysia kepada Mazlan Hashim (kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Madius Tangau. BERNAMA

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kemiskinan dan ketidaksama­rataan antara masyarakat mesti ditangani menerusi sains dan tek­nologi kerana kedua-dua ma­salah itu boleh menyebabkan konflik dan keganasan dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, teknologi sedia ada dan baharu boleh menghentikan kemusnah­an alam sekitar, mengurangkan atau menghapuskan penyakit serta menyumbang kepada pe­ningkatan tahap pembangunan manusia merentasi pelbagai komponen.

“Sumber-sumber tenaga di­perbaharui seperti tenaga suria contohnya, mampu mengubah kehidupan miskin bandar dan pedalaman sekiranya dapat dilaksanakan secara efektif.

“Aplikasi-aplikasi inovatif pintar terutama dalam mekanisme pembayaran pula dapat memberi impak yang sangat positif. Aplikasi sains dan teknologi juga boleh membina keamanan dan kestabilan,” titah baginda sewaktu merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Untuk Ke­amanan di Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan Pre­si­den Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Sultan Nazrin turut menyampaikan sijil pengiktirafan Penyelidikan Saintis Terbaik Malaysia (TRSM) kepada 10 penyelidik tempatan.

Mereka ialah Prof. Dr. Azman Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Prof. Ir. Dr. Dominic Foo Chwan Yee (University of Nottingham, Malaysia); Prof. Dr. Latiffah Abdul Latiff (Universiti Putra Malaysia); Prof. Dr. Liong Min Tze ( Universiti Sains Malaysia) dan Dr. Loh Soh Kheang dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Dr. Mazlan Hashim (UTM); Prof. Dr. Noor Hayaty Abu Kassim (Universiti Malaya); Prof. Madya Dr. Suzana Yusup (Universiti Teknologi Petronas); Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman (UTM) dan Prof. Dr. Yvonne Lim Ai Lian dari Universiti Malaya.

Sultan Nazrin bertitah, inovasi dalam sains dan teknologi me­rentasi spektrum memiliki potensi yang besar untuk menangani sekurang-kurangnya be­­berapa cabaran yang dihadapi pada waktu ini, namun dalam masa sama potensi itu boleh dihalang oleh kehendak politik dan realiti ekonomi.

“Sains dan teknologi juga boleh disalah guna untuk menjana keganasan berbanding menonjolkan keamanan. Sekiranya perkembangan teknologi dan saintifik menyumbang kepada keamanan dan pembangunan, ia mesti diurus secara efektif berbanding waktu sekarang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, sekiranya semua pihak serius untuk menjuarai keamanan, halangan-halangan konvensional perlu di­atasi selain menjalin lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dan menggunakan pendekatan bermanfaat terhadap tadbir urus global serta cabaran-cabarannya selain perancangan bersepadu dan tindakan sinergi.

“Sebagai contoh, ia memerlukan kepimpinan tanpa kompromi dan secara keseluruhannya pelbagai pihak berkepentingan bekerja bersama-sama bagi mencapai matlamat tersebut,” titah baginda.

– Sumber : Utusan online