UUM peroleh akreditasi berprestij dunia, AACSB

NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Seri Dr.Mustafa Ishak (tengah) menyampaikan sijil pengharagaan kepada Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan, Prof.Dr. Rishami Zien Yusoff (kanan) sambil diperhatikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr.Hasan Ali di Majlis Meraikan Pengiktirafan (The Association to Advance Collegiate Schools of Business) AACSB di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah Universiti Utara Malaysia (UUM). – Foto Sharul Hafiz Zam

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan satu kejayaan terbesar sejak 32 tahun penubuhannya apabila memperoleh akreditasi berprestij daripada The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB). Pengiktirafan akreditasi itu diumumkan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Akreditasi AACSB, Robert D Reid di Tampa, Florida, Amerika Syarikat, 10 Ogos lalu. Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pengiktirafan itu membolehkan UUM kini bertaraf antarabangsa dan setaraf dengan sekolah-sekolah perniagaan terkemuka dunia. “UUM telah melepasi satu piawaian antarabangsa yang ketat dan tinggi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Meraikan Pengiktirafan AACSB di sini hari ini. AACSB adalah badan global yang ditubuhkan pada 1916, menawarkan akreditasi berprestij yang paling diiktiraf di seluruh dunia kepada universiti atau kolej yang menawarkan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan. Mustafa berkata, hanya lima peratus atau 777 sahaja sekolah-sekolah perniagaan terbaik di seluruh dunia yang berjaya mendapat akreditasi berkenaan. Walaupun Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya antara universiti terawal di negara ini yang memperoleh akreditasi tersebut katanya, namun UUM melalui sekolah perniagaannya adalah sekolah terbesar mendapat akreditasi AACSB. “Pengiktirafan ini meletakkan UUM sebagai universiti pengurusan terbesar yang mendapat akreditasi tersebut untuk enam pusat pengajian, satu jabatan yang melibatkan 23 program akademik dengan 500 tenaga pengajar dan 13,800 pelajar,” katanya. Beliau berkata, UUM berusaha keras selama tujuh tahun untuk memperoleh akreditasi berkenaan bagi memenuhi 15 kriteria dan standard piawaian yang telah ditetapkan oleh AACSB. Antara kriteria dinilai ialah tenaga pengajar, misi universiti, pengajaran dan pembelajaran serta sumbangan intelektual, yang dinilai oleh mentor berpengalaman dari AACSB. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian