Tangguh kokurikulum libatkan air Elak dijangkiti kencing tikus

PADANG TERAP 12 Ogos – Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menangguhkan kegiatan kokurikulum yang membabitkan aktiviti di kawasan air seperti sungai dan air terjun ekoran kematian seorang guru akibat jangkitan kencing tikus atau leptospirosis.

Menterinya, Da­tuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ke­pu­tusan itu berkuat kuasa serta-merta se­­hingga satu kajian dilakukan oleh ke­menteriannya ber­­kaitan perkara berke­naan.

“Kementerian buat keputusan untuk menangguh serta-merta sebarang aktiviti kokurikulum yang melibatkan luar bilik darjah di kawasan su­ngai atau air terjun yang mempunyai risiko terkena jangkitan kencing tikus atau leptospirosis.

“Kita akan buat kajian dahulu berhubung isu ini sebab insiden ini tidak dijangka begitu serius. Saya minta supaya Ketua Pengarah dan Jawatankuasa Khas kementerian buat kajian dahulu lepas itu kita tengok masa sesuai untuk adakan balik (aktiviti ini),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap di Dusun Minda Kuala Nerang, dekat sini hari ini.

Guru berkenaan, Mohd. Yusri Yaccob, 42, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Indera Putera Ayer Hitam Jerlun meninggal dunia semalam dipercayai akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mangsa dilaporkan mengikuti aktiviti Pendidikan Luar Murid Sekolah Menengah 1Malaysia peringkat negeri pada 17 hingga 20 Julai lalu di Pusat Kokurikulum Daerah Baling yang melibatkan aktiviti sukan air di Sungai Baling yang turut disertai seramai 106 pelajar dan guru dan setakat ini tiada peserta lain yang mengalami gejala sama.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihak sekolah dicadangkan memilih aktiviti lain termasuk di dalam bangunan atau di kawasan sekolah bagi menggantikan aktiviti luar berkenaan.

“Aktiviti kokurikulum ini melibatkan guru dan pelajar termasuk aktiviti lasak dan mencabar seperti berkayak dan berakit di sungai buat sementara waktu aktiviti ini ditangguh dan boleh diganti dengan aktiviti di dalam bangunan atau kawasan sekolah sehingga diberitahu kelak,” katanya.

– Sumber : Utusan online