Program pelajar cemerlang abad ke-21 pelengkap persiapan hadapi UPSR

Dr. Ismail Zain (barisan keempat, lima dari kiri) bersama guru

Dr. Ismail Zain (barisan keempat, lima dari kiri) bersama guru dan murid SK Sri Kinta selepas tamat Program Pelajar Cemerlang Abad Ke-21 di Hotel Seri Malaysia, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Selaras dengan keperluan pendidikan semasa, Program Pelajar Cemerlang Abad Ke-21 kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menjadi pelengkap persiapan 100 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kinta di Hotel Seri Malaysia, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menurut Dr. Ismail, murid dalam pendidikan masa kini tidak boleh sekadar menghafal fakta atau nota yang diberi oleh guru untuk berjaya dengan cemerlang.

“Untuk mencapai kecemerlangan, murid harus dapat berkomunikasi dengan baik, berfikir secara kritis dan kreatif, mampu bekerjasama dan mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi dalam proses pembelajaran,” tegasnya.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Kinta.

Yang Dipertua PIBG SK Sri Kinta, Abdul Wahab Osman memantau perjalanan program ini dan berpuas hati dengan pelaksanaannya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah ini, Mohd Tarmizi Mohd Tahir berpendapat pengisian program sesuai dengan corak pendidikan masa kini.

“Murid dapat mengikutinya dan kelihatan bertambah yakin serta bersemangat untuk menduduki UPSR,” tambahnya.

Bagi Guru Kaunseling, Azlina Abdul Kadir, program ini banyak membantu murid menjadi lebih yakin dengan diri sendiri dan sanggup menghadapi peperiksaan dengan lebih bersifat positif.

“Program ini dirancang agar murid mempunyai ciri-ciri ketahanan diri yang akan membantu mereka menghadapi cabaran terutamannya ketika saat-saat akhir,” katanya.

Dalam pada itu, sesiapa yang berminat untuk menganjurkan program ini, sila berhubung dengan Dr. Ismail di talian 019-5713745.

Program ini dirangka untuk semua peringkat pelajar yang dirancang secara teliti berdasarkan keperluan kerangka Pembelajaran Abad Ke-21 untuk melahirkan pelajar yang berkeperibadian global dan mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam mendepani sebarang bentuk cabaran.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: