Nenek lapan cucu masuk universiti

NAIB Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman (kiri) beramah mesra dengan Amelia Hashim pada Majlis Sambutan Siswa dan Ikrar Pelajar Baharu di Dewan Tuanku Syed Putra USM di Georgetown, hari ini. – Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Impian seorang nenek untuk menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tercapai apabila beliau diterima sebagai pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. Amelia Hashim, 64, yang juga seorang penulis novel dan cerpen terkenal, kini bergelar pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera. Amelia berkata, hasrat menyambung pengajian timbul apabila beliau sering dijemput sebagai penceramah dalam bengkel penulisan. “Saya sering diundang sebagai pembimbing di seminar penulisan. Namun, ada ketikanya saya berasakan bahawa ilmu saya belum cukup untuk dikongsikan bersama orang ramai. “Justeru, selepas bersara sebagai kakitangan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian. Syukur kerana anak-anak tidak membantah, malah memberi galakan kepada saya,” kata nenek kepada lapan cucu ini. Amelia antara 1,400 pelajar PJJ yang diraikan dalam Majlis Sambutan Siswa dan Ikrar Pelajar Baharu di Dewan Tuanku Syed Putra USM di sini, hari ini. Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman.

Sumber: Berita Harian