Sayembara Cerpen 2016 terbuka semua pelajar universiti

Pengarah APM UM, Prof Madya Dr Puteri Roslina Abdul Wahid.

KUALA LUMPUR: Sayembara Cerpen 2016 yang terbuka kepada semua pelajar universiti awam (UA) dan swasta termasuk luar negara akan menjadi platform kepada golongan berkenaan untuk berkarya. Sayembara anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila menganjurkannya yang terbuka kepada pelajar berusia 18 hingga 30 tahun. Pertandingan yang mendapat kerjasama kedai buku Gallery Bookstore itu, menggariskan syarat penyertaan mestilah dalam bahasa Melayu, bertemakan kemanusiaan dan karya asli. Pengarah APM UM, Prof Madya Dr Puteri Roslina Abdul Wahid, berkata sayembara itu bertujuan mengasah dan mencungkil bakat penulisan pelajar universiti, sekali gus sebagai pelapis kepada pengarang mapan masa kini. “Sebanyak 30 karya terbaik daripada keseluruhan penyertaan itu nanti akan dibukukan dengan setiap pengarang akan menerima royalti daripada hasil karya mereka. “Setiap peserta yang ingin mengambil bahagian boleh menghantar maksimum tiga cerpen dengan tarikh akhir penghantaran pada 15 Oktober 2016,” katanya dalam sidang media di APM UM di sini, hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Gallery Bookstore, Zaffri Hassan; Profesor Jabatan Kesusasteraan Melayu APM, Prof Dr Mohamad Mokthtar Abu Hassan dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Ishak Hamzah. Puteri Roslina berkata, sayembara ini juga bakal menjadi acara tahunan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar universiti mengasah bakat menjadi penulis. Sementara itu, Zaffri berkata, pihaknya terpanggil untuk bekerjasama dengan APM kerana yakin golongan pelajar mempunyai idea dan ilmu untuk menghasilkan karya yang baik. “Kami menyediakan platform sebaiknya untuk pelajar universiti berkarya dan inilah masanya mereka mengembangkan bakat dalam bidang penulisan,” katanya. Makluman lanjut mengenai sayembara ini boleh diperoleh menerusi laman web gallerybookstore.com.my, manakala karya yang sudah siap boleh dihantar kepada sekretariat menerusi e-emel galleryapmum@gmail.com atau serahan tangan ke pejabat APM atau mana-mana cawangan Gallery Bookstore di seluruh negara. Sayembara ini menyediakan hadiah wang tunai RM2,000 dan piala untuk tempat pertama; RM1,500 (kedua); RM1,000 (ketiga); RM700 (keempat) dan 25 hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap satu.

Sumber: Berita Harian