UMT, UTP, BV kongsi kepakaran lakukan kajian

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar bertukar memorandum bersama Naib Canselor UTP, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan terbabit diadakan di kampus UMT cawangan Putrajaya, Putrajaya, hari ini. – Foto Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama akademik dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Bureau Veritas Malaysia Sdn Bhd (BV) bagi menjalankan penyelidikan bertaraf antarabangsa. Sehubungan itu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan terbabit diadakan di kampus UMT cawangan Putrajaya, di sini hari ini. Asas utama kerjasama itu adalah berkongsi kepakaran bagi menggalakkan aspek guna sama sumber sedia ada, sekali gus menjimatkan perbelanjaan. Mewakili UMT ialah Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar; UTP diwakili Naib Canselor, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, manakala Ketua Eksekutif Negara BV, Othman Abdul Kadir mewakili BV. Nor Aieni berkata, kerjasama berasaskan bidang kepakaran yang dimiliki masing-masing itu dapat menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi, sekali gus melonjakkan tahap UMT ke peringkat lebih tinggi. Katanya, perkongsian kepakaran penyelidikan berkaitan maritim dan laut dalam itu dimeterai untuk tempoh tiga tahun dan diharap mencapai kecemerlangan. “Melalui kajian yang akan dibuat, UMT akan menyumbang kepakaran dalam bidang maritim, manakala UTP dalam bidang kejuruteraan dan BV pula berkepakaran dalam bidang pengkelasan kapal serta teknologi maklumat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Talian Careline PTPTN bertukar mulai 2 Ogos

PORTAL rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my.   DISYORKAN

KUALA LUMPUR: Mulai Selasa lalu, talian Careline Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertukar kepada 03-21933000 bagi memberi perkhidmatan yang lebih efisien kepada pelanggan. Menurut kenyataan dikeluarkan PTPTN, talian Careline boleh dihubungi tujuh (7) hari seminggu dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi hingga 7 malam, manakala Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Pelanggan boleh menghubungi talian itu bagi tujuan semakan dan rundingan berkaitan pinjaman, bayaran balik pinjaman dan simpanan SSPN-i/SSPN-i Plus. Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi di http://www.ptptn.gov.my.

Sumber: Berita Harian

 

Sayembara Cerpen 2016 terbuka semua pelajar universiti

Pengarah APM UM, Prof Madya Dr Puteri Roslina Abdul Wahid.

KUALA LUMPUR: Sayembara Cerpen 2016 yang terbuka kepada semua pelajar universiti awam (UA) dan swasta termasuk luar negara akan menjadi platform kepada golongan berkenaan untuk berkarya. Sayembara anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila menganjurkannya yang terbuka kepada pelajar berusia 18 hingga 30 tahun. Pertandingan yang mendapat kerjasama kedai buku Gallery Bookstore itu, menggariskan syarat penyertaan mestilah dalam bahasa Melayu, bertemakan kemanusiaan dan karya asli. Pengarah APM UM, Prof Madya Dr Puteri Roslina Abdul Wahid, berkata sayembara itu bertujuan mengasah dan mencungkil bakat penulisan pelajar universiti, sekali gus sebagai pelapis kepada pengarang mapan masa kini. “Sebanyak 30 karya terbaik daripada keseluruhan penyertaan itu nanti akan dibukukan dengan setiap pengarang akan menerima royalti daripada hasil karya mereka. “Setiap peserta yang ingin mengambil bahagian boleh menghantar maksimum tiga cerpen dengan tarikh akhir penghantaran pada 15 Oktober 2016,” katanya dalam sidang media di APM UM di sini, hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Gallery Bookstore, Zaffri Hassan; Profesor Jabatan Kesusasteraan Melayu APM, Prof Dr Mohamad Mokthtar Abu Hassan dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Ishak Hamzah. Puteri Roslina berkata, sayembara ini juga bakal menjadi acara tahunan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar universiti mengasah bakat menjadi penulis. Sementara itu, Zaffri berkata, pihaknya terpanggil untuk bekerjasama dengan APM kerana yakin golongan pelajar mempunyai idea dan ilmu untuk menghasilkan karya yang baik. “Kami menyediakan platform sebaiknya untuk pelajar universiti berkarya dan inilah masanya mereka mengembangkan bakat dalam bidang penulisan,” katanya. Makluman lanjut mengenai sayembara ini boleh diperoleh menerusi laman web gallerybookstore.com.my, manakala karya yang sudah siap boleh dihantar kepada sekretariat menerusi e-emel galleryapmum@gmail.com atau serahan tangan ke pejabat APM atau mana-mana cawangan Gallery Bookstore di seluruh negara. Sayembara ini menyediakan hadiah wang tunai RM2,000 dan piala untuk tempat pertama; RM1,500 (kedua); RM1,000 (ketiga); RM700 (keempat) dan 25 hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap satu.

Sumber: Berita Harian