The Flying Youth lawat sekolah lama

RAJA Pecut SUKMA ke-18, Khairul Hafiz Jantan (kanan) diberi peluang berucap di tapak perhimpunan ketika kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru Melaka. – Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kehadiran raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan atau nama jolokannya ‘The Flying Youth’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini pagi tadi disambut meriah oleh warga sekolah berkenaan. Kehadirannya ke sekolah lamanya itu disambut Pengetua SMK Bukit Baru, Megat Nasir Megat Hashim bersama 126 guru dan 1,818 pelajar. Yang turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan dan Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan negeri, Hussin Chek dan Abdul Latif Karim. Khairul Hafiz yang turut digelar The Speedy Jantan mencipta sensasi arena olahraga tempatan apabila melakar rekod baharu kebangsaan acara 100 meter (m) dengan masa 10.18 saat (s). Pemenang emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak itu memecahkan rekod lama berusia 18 tahun. Selain beramah mesra dengan pelajar, beliau turut menunjukkan bakatnya dengan berlari 100m bersama pelajar dari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) Melaka. Ketika ditemui, Khairul Hafiz berkata, kunjungannya ke sekolah itu untuk melawat dan mengingat kembali nostalgia pertama beliau dalam sukan olahraga. “Ia (SMK Bukit Baru) sekolah pertama saya sejak Tingkatan Satu dan juga kali pertama bakat saya dalam larian disedari guru sukan, Mustafa Mohd Noor. Saya gembira dan terharu apabila disambut dengan begitu ramai dan meriah oleh guru dan pelajar sekolah ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian