Guru dinasihat jangan sensasikan maklumat di laman sosial

TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab (kiri), menerima cenderahati daripada Pengarah Institut Pelajaran Vokasional Southern 3 Thailand, Somthong Jatuthong di Majlis penutup pertukaran pelajar Kolej Vokasional Kedah/Perlis dengan pelajar Kolej Vokasional Thailand di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar. – Foto Muhd Adib

ALOR SETAR: Guru di negara ini diingatkan supaya tidak mensensasikan maklumat tidak tepat berhubung sebarang insiden di sekolah masing-masing sehingga menjadi viral di laman sosial. Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahmad Tajudin Jab, berkata peringatan itu harus dipatuhi bagi mengelak guru berdepan sebarang tindakan sama ada di peringkat sekolah atau orang awam. Mengambil contoh insiden seorang ustazah didakwa menampar pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Gajah, Kelantan, kira-kira dua minggu lalu, beliau berkata, kes itu menjadi berlarutan apabila seorang guru turut tampil menyebarkan maklumat di laman sosial. “Apabila berlaku sesuatu insiden, ada dalam kalangan guru suka sensasikannya, contohnya insiden guru tampar murid di Kelantan sedangkan isu itu sebenarnya sudah diselesaikan di peringkat sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). “Mungkin guru itu tidak dapat maklumat yang betul dan tindakannya itu memberi kesan tidak baik kepada keluarga (pelajar) hingga mereka mahu saman (guru). “Jadi, guru perlu bertanggungjawab atas maklumat disebarkan termasuk risiko disaman,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi. Terdahulu, Tajudin merasmikan majlis penutup program Penukaran Pelajar SEA-TVET Malaysia-Thailand di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, di sini. Sementara itu, Tajudin berkata, seramai 2,200 pelajar perintis di 15 Kolej Vokasional di negara ini bakal memperoleh Diploma Vokasional Malaysia masing-masing pada 23 hingga 25 Ogos ini melalui 16 bidang ditawarkan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

12 pelajar terima biasiswa kelas dunia Universiti Taylor’s

DATUK Seri Idris Jusoh. – Foto Bernama

SUBANG JAYA: Universiti Taylor’s menganugerahkan ‘Biasiswa Kelas Dunia Taylor’s’ (TWCS) kepada 12 pelajar untuk mengikuti pengajian di universiti itu dan latihan industri. Surat tawaran disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di universiti berkenaan, di sini hari ini. Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor’s, Prof Michael Driscoll, berkata seramai 2,114 pelajar memohon TWCS tahun ini. “Dalam tempoh sedekad ini, kami menganugerahkan biasiswa bertaraf dunia kepada 153 penerima dengan pelaburan keseluruhan RM1.3 juta,” katanya berucap pada majlis penyampaian tawaran berkenaan. Biasiswa itu untuk pelajar melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang, antaranya bidang kejuruteraan, perakaunan, kewangan, sains komputer dan perniagaan.

Sumber: Berita Harian

The Flying Youth lawat sekolah lama

RAJA Pecut SUKMA ke-18, Khairul Hafiz Jantan (kanan) diberi peluang berucap di tapak perhimpunan ketika kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru Melaka. – Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kehadiran raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan atau nama jolokannya ‘The Flying Youth’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini pagi tadi disambut meriah oleh warga sekolah berkenaan. Kehadirannya ke sekolah lamanya itu disambut Pengetua SMK Bukit Baru, Megat Nasir Megat Hashim bersama 126 guru dan 1,818 pelajar. Yang turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan dan Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan negeri, Hussin Chek dan Abdul Latif Karim. Khairul Hafiz yang turut digelar The Speedy Jantan mencipta sensasi arena olahraga tempatan apabila melakar rekod baharu kebangsaan acara 100 meter (m) dengan masa 10.18 saat (s). Pemenang emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak itu memecahkan rekod lama berusia 18 tahun. Selain beramah mesra dengan pelajar, beliau turut menunjukkan bakatnya dengan berlari 100m bersama pelajar dari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) Melaka. Ketika ditemui, Khairul Hafiz berkata, kunjungannya ke sekolah itu untuk melawat dan mengingat kembali nostalgia pertama beliau dalam sukan olahraga. “Ia (SMK Bukit Baru) sekolah pertama saya sejak Tingkatan Satu dan juga kali pertama bakat saya dalam larian disedari guru sukan, Mustafa Mohd Noor. Saya gembira dan terharu apabila disambut dengan begitu ramai dan meriah oleh guru dan pelajar sekolah ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Model Sekolah Amanah diperluas ke semua sekolah

TIMBALAN Menteri Pendidikan II. Senator Chong Sin Woon (dua dari kiri) menerima hadiah cenderahati daripada Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda (kiri) pada majlis Persidangan Sekolah Amanah 2016 di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Model Program Sekolah Amanah akan diperluaskan ke semua jenis sekolah menjelang 2025 dalam usaha memantapkan pendidikan negara. Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon, berkata keperluan untuk memperluaskan model itu wajar bagi memenuhi dan menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi cabaran abad ke-21. Katanya, usaha mencapai status negara maju dengan acuan tersendiri dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan kerohanian menuntut satu sistem pendidikan yang menyeluruh. “Kerajaan bukan saja mahu menambah bilangan sekolah, tetapi juga jenis sekolah seperti kumpulan minoriti, murid dengan keperluan khas dan sekolah luar bandar. “Bagi menjayakan program ini, kami mengharapkan pembabitan lebih banyak sektor korporat secara berterusan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan menerusi penambahbaikan dan keberkesanan pelajar bagi membangunkan potensi dan keberhasilan diri pelajar,” katanya. Bercakap demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Program Sekolah Amanah di sini hari ini, beliau berkata, satu sistem sokongan bersepadu wajar dibentuk bagi mendasari transformasi pendidikan negara. Katanya pelbagai inovasi dan pemikiran baharu yang menjangkau keperluan masa hadapan perlu digarap secara mapan supaya guru dan modal insan yang dilahirkan, mampu berdepan cabaran dan menjadi peserta global yang dinamik. Sin Woon berkata, program Sekolah Amanah berjaya menghasilkan murid cemerlang dan kementerian akan memperluaskan program itu ke 700 sekolah menjelang 2025. Program Sekolah Amanah yang dikendalikan Yayasan Amir dilancarkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2010 untuk mengangkat status sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan supaya setanding sekolah swasta.

Sumber: Berita Harian