Wajibkan subjek Pendidikan Islam di IPT

SebahAgian daripada Ahli Parlimen Mahasiswa mengaminkan doa sebelum

Sebahagian daripada Ahli Parlimen Mahasiswa mengaminkan doa sebelum bermula persidangan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang Ahli Parlimen Mahasiswa hari ini men­cadangkan agar mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan subjek wajib di universiti sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Wakil Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Aiman Ahmad berkata, mata pelajaran tersebut perlu diberikan mata jam kredit dalam proses pem­belajaran di universiti.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi membentuk akhlak yang baik kepada setiap mahasiswa di negara ini.

“Masalah akhlak dan moral dalam kalangan golongan remaja semakin membimbangkan dan usaha ini mampu memberi peringatan yang berterusan kepada setiap remaja terutama mahasiswa supaya hidup mereka di­pimpin dengan panduan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul untuk memperluaskan bidang pendidikan di negara ini di Parlimen Mahasiswa di sini hari ini.

Parlimen Mahasiswa Sesi 2016 bersidang di Parlimen bermula hari ini dengan penyertaan seramai 210 mahasiswa dari 26 universiti tempatan di seluruh negara.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu bukan sahaja disertai mahasiswa universiti awam tetapi turut disertai pelajar universiti swasta.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam ucapan alu-aluan berkata, beliau berharap mahasiswa yang me­­yertai persidangan kali ini dapat menggunakan platform tersebut untuk menimba pengalaman dengan sebaik mungkin.

“Parlimen Mahasiswa bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa berbahas secara intelektual untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Jadi, saya melihat perkara ini membolehkan mahasiswa membahaskan pelbagai isu-isu semasa dan saya berharap mahasiswa menggunakan platform ini sebaik mungkin,” jelasnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: