Manfaatkan Tutor bantu hadapi SPM

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak digalakkan menggunakan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor SPM bagi menghadapi peperiksaan itu pada November nanti.

Pengerusi Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas, Cikgu Mohamad Azir Ismail berkata, calon SPM perlu memanfaatkan akhbar pendidikan Tutor sebagai bahan sokongan untuk latihan dan ulang kaji.

“Kandungan Tutor dibangunkan sesuai dengan format peperiksaan dan ini sangat membantu memahirkan pelajar dalam menjawab soalan-soalan bagi setiap mata pelajaran yang diambil,” kata alumni SMK Tun Perak tahun 1962 ini.

Beliau berkata demikian selepas tamat mengendalikan Program Motivasi dan Strategi Pecutan Akhir SPM 2016 yang melibatkan 200 pelajar tingkatan lima SMK Tun Perak di sekolah itu di Padang Rengas, Perak, baru-baru ini.

Program ini anjuran Alumni SMK Tun Perak 1962 dengan kerjasama Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas dan Unit Kaunseling SMK Tun Perak.

Sementara itu, bagi menye­marakkan semangat pelajar menduduki SPM, Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberikan kad ucapan motivasi kepada semua pelajar tingkatan lima SMK Tun Perak.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: