Projek Kalsom bantu pelajar kuasai Bahasa Inggeris

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berbual bersama sebahagian daripada 80 fasilitator pada pelancaran kem motivasi Projek Kalsom di Kuala Kubu Bharu. – Foto Shiraz Yasmine Ali

KUALA KUBU BHARU: Bagi membantu pelajar tempatan menguasai Bahasa Inggeris, seramai 80 fasilitator dalam dan luar negara berkampung selama lima hari di sini bagi menyertai kem motivasi Projek Kalsom, bermula hari ini. Program itu diadakan setiap tahun sejak 1994 bersama sekumpulan fasilitator yang dipilih termasuk 10 pelajar dari University of Bristol, United Kingdom dalam membantu menjayakan program terbabit. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata seramai 260 pelajar Tingkatan Empat, khususnya pelajar luar bandar di sekitar daerah Selangor dipilih untuk menyertai program berkenaan. “Melalui program ini, fasilitator terbabit akan membantu dan memantapkan kemahiran akademik dan bukan akademik dalam kalangan pelajar, meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris, mendedahkan peluang pendidikan selepas sekolah dan memupuk semangat dalam diri mereka. “Modul pembelajaran dalam kem ini satu modul yang holistik yang turut dicadangkan oleh pelajar terbaik kita yang berada di luar negara yang tahu latar belakang pendidikan negara dan mengambil kaedah ini untuk menghasilkan satu bentuk modul. “Saya juga difahamkan selepas tamat kem ini, pelajar akan mewujudkan satu kelab diberi nama ‘Kalsom Movement’ untuk berkongsi kepada rakan mereka apa yang dipelajari sepanjang kem ini,” katanya ketika ditemui BH, sebentar tadi.

Sumber: Berita Harian