Pembinaan MRSM Ulul Albab di Kelantan dijangka awal 2017

PEMBINAAN Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berkonsepkan Ulul Albab bernilai RM120 juta dijangka bermula awal tahun depan. – FotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berkonsepkan Ulul Albab bernilai RM120 juta di Kelantan dijangka dimulakan, awal tahun depan. Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata kawasan seluas hampir lima hektar berhampiran pekan Peringat di sini, sudah dikenal pasti bagi tujuan itu. “Kita akan keluarkan proses tender pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jaya Peringkat di sini, hari ini. Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata MRSM berkenaan mampu menampung seramai 750 pelajar dan dijangka beroperasi pada 2019. MRSM itu adalah yang terbesar setakat ini berbanding empat lagi MRSM dengan konsep yang sama, masing-masing di Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. “Pada masa ini, keempat-empat maktab itu melahirkan kira-kira 1,000 pelajar setahun yang dapat menghafal 30 juzuk al-Quran, selain berkeupayaan dalam bidang sains, perakaunan dan kejuruteraan,” katanya. Annuar berkata, MRSM Ulul Albab memberi penekanan kepada aspek pembangunan sahsiah pelajar menerusi agama dan dalam masa yang sama turut memberi fokus dalam bidang akademik. “Penubuhannya juga untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah dari umat Islam di negara ini,” katanya. Beliau berkata, Peringat dipilih sebagai lokasi pembinaan MRSM itu berdasarkan potensi yang berhampiran bandar Kota Bharu serta dekat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa. “Ia juga akan merancakkan proses pembangunan pekan Peringat dan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat,” katanya. — BERNAMA

Sumber: Berita Harian