Malaysia utamakan pendidikan awal kanak-kanak

PUTRAJAYA 19 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia sentiasa meletakkan pendidikan awal kanak-kanak pada tahap tertinggi bagi menjamin masa depan negara di masa hadapan.

Beliau berkata, setiap kanak-kanak yang lahir di negara ini merupakan masa depan negara dan aset penting bagi pembangunan negara.

Malah, katanya, beliau yakin bahawa dalam membangunkan negara dan rakyat, ia bermula daripada pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

“Dalam Malaysia menuju sebagai negara berstatus berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kita sentiasa menitik beratkan status sebagai negara maju yang mempunyai tahap kesejahteraan rakyat yang tinggi yang mana setiap orang boleh menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran. Inilah masa depan yang kita mahukan pada anak-anak ini.

“Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang mampu menghasilkan impak tinggi, dengan kos rendah dan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) yang disertai lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa di Hotel Marriott, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Asia Timur dan Pasifik Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Wivina Belmonte; Penolong Pengarah Pendidikan Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Qian Tang dan Pengarah Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik (ARNEC), Dr. Sheldon Shaeffer.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: