Hantar anak tadika Kemas 
jika tidak mampu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2016 - Menteri Kemajuan Luar bandar dan

Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin (kiri), Rubiyah Abd. Rahman (dua dari kanan) dan Mohamad Shahaimi Othman (dua dari kiri) melancarkan Mobile Learning Centre di Institut Kemajuan Desa Infra, Persiaran Institusi, Kajang, Selangor, semalam. – UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

KUALA LUMPUR 19 JULAI – Kala­ngan ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak ke tadika swasta yang dikatakan mengenakan yuran terlalu tinggi boleh menghantar anak masing-masing ke tadika yang dikendalikan kerajaan seperti tadika Kemas, tadika perpaduan dan prasekolah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyediakan alternatif kepada ibu bapa untuk memberi pendidikan awal kepada anak-anak de­ngan yuran yang berpatutan dan terendah iaitu RM10 sebulan.

Katanya, tadika swasta me­ngenakan yuran terlalu tinggi ke­rana perlu mengambil kira pelbagai kos berkaitan termasuk kos operasi dan kos sewa bangunan yang tinggi.

“Yang penting kita ada pilihan. Kalau rasa tadika luar (swasta) mahal, datang sahaja ke tadika kemas, RM10 sebulan sahaja. Ada makan. Baju pun kerajaan bagi.

“Kita ada tadika Kemas di setiap kampung di kawasan ban­dar pun tidak ada masalah kerana terdapat prasekolah dan tadika perpaduan yang tetap menjadi pilihan ibu bapa,” katanya sewaktu menghadiri majlis pelancaran Pusat Pembelajaran Bergerak Institut Kemajuan Desa (Infra) dan Rumah Terbuka Aidilfitri Infra di Kajang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Infra, Datuk Rubiyah Abd. Rahman serta Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Kebangsaan Se-Malaysia, Mohamad Shahaimi Othman.

Beliau mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia, Isnin lalu berhubung caj tadika swasta yang melampau hingga mence­cah ribuan ringgit setahun dikenakan operator tadika swasta di negara ini meliputi yuran pendaftaran, yuran bulanan, buku dan uniform bergantung kepada pakej yang dipilih.

Lebih malang, ibu bapa berpendapatan sederhana tiada pilihan lain selain menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta berikutan permohonan kemasukan ke tadika kerajaan terhad.

Setakat ini, terdapat 11,160 buah tadika Kemas di seluruh negara dengan 12,000 buah kampung.

Tambah Ismail Sabri, setakat ini, tidak ada kementerian khas yang mengawal tadika-tadika berkenaan.

Malah, beliau sendiri sudah membangkitkan di Parlimen supaya ada satu kementerian yang menjaga keseluruhan tadika dari segi dasar dan sebagainya.

“Ada yuran tadika swasta mengenakan yuran RM8,000 sebulan. Jadi, ibu bapa boleh membuat pilihan. Apa yang penting kerajaan sediakan alternatif kepada ibu bapa dan kerajaan menyediakan tadika dengan yuran yang amat rendah iaitu serendah RM10 sebulan,” ujarnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: