APFEC 2016 buka tirai Lebih 1,000 peserta terlibat

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra dengan sebahagian kanak-kanak ketika

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra dengan sebahagian kanak-kanak ketika hadir dalam majlis perasmian APFEC 2016 sambil disaksikan Mahdzir Khalid di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 19 Julai – Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) yang membuka tirainya hari ini merupakan platform terbaik untuk berbincang dan berkongsi pengalaman me­ngenai strategi inovatif dalam meningkatkan ekuiti dan kualiti dasar berkaitan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, forum itu sejajar dengan Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) 4.2 menjelang tahun 2030 yang menetapkan semua kanak-kanak perlu mendapatkan akses kepada perkembangan awal, asuhan dan pendidikan prasekolah berkualiti.

Menurutnya, sebanyak 38 dari­pada 47 buah negara di rantau Asia Pasifik mengambil bahagian dalam forum kali kedua yang turut disertai 10 menteri dan sembilan timbalan menteri.

“Forum ini kali kedua dianjurkan selepas berlangsungnya forum kali pertama di Korea Selatan pada 10 hingga 12 September 2013 bagi membincangkan mengenai pendidikan awal kanak-kanak di rantau Asia Pasifik.

“Forum ini bermatlamat menyediakan platform untuk penggubal dasar peringkat tertinggi di Asia Pasifik berkongsi pengalaman dan me­laksanakan ECCE,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap me­rasmikan APFEC 2016 di sini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Asia Timur dan Pasifik Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Wivina Belmonte, Penolong Pengarah Pendidikan Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Qian Tang, Pengarah Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik (ARNEC), Dr. Sheldon Shaeffer dan timbalannya, Senator Chong Sin Woon serta Datuk P. Kamalanathan.

Forum tersebut dianjurkan dengan kerjasama UNESCO, UNICEF dan ARNEC dengan matlamat untuk menyediakan platform bagi delegasi negara-negara di rantau Asia Pasifik untuk berkongsi pe­ngalaman dalam melaksanakan dasar pendidikan.

Menurut Mahdzir, para peserta akan mengkaji semula kemajuan negara-negara terlibat dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar pendidikan kanak-kanak termasuk mengemaskini tindakan utama yang telah dikenal pasti semasa forum di Korea Selatan dahulu.

Katanya, hasil daripada pe­nganjuran itu diharap dapat membantu penggubal dasar de­ngan maklumat tentang bukti penyelidikan terkini dan inovatif serta pendekatan berkualiti untuk meningkatkan ekuiti dan kualiti berkaitan ECCE.

“Satu deklarasi serantau atau Deklarasi Putrajaya yang mencakupi pelbagai strategi termasuk kaedah pemantauan dan peranan setiap negara untuk mencapai SDG 4.2 juga akan dihasilkan di akhir forum.

“Kita ada pelbagai kaedah perbincangan dalam forum ini seperti moderated panel dan perbincangan meja bulat merangkumi perbincangan khas untuk menteri dan setiap delegasi daripada setiap negara dan akhirnya satu deklarasi khas akan dikeluarkan pada Khamis ini,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: