Syarat baharu pelajar Mara

Annuar MusaAnnuar Musa

KUALA LUMPUR 16 Julai – Majlis Amanah Rakyat (Mara) mene­tapkan semua pelajar tajaannya di luar negara perlu memaklumkan pergerakan semasa mereka seperti bercuti atau terlibat dalam mana-mana persatuan di luar universiti kepada wakil agensi itu yang berdekatan mereka.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, syarat baharu itu akan dilaksanakan pada tahun ini bertujuan memastikan pengawasan keselamatan pelajar di luar negara dapat dilaksanakan dengan cekap dan lebih berkesan.

Katanya, langkah itu bukan bermaksud menghalang aktiviti pelajar tetapi bagi memudahkan proses mencari dan pengecaman sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini di kawasan yang mereka lawati.

“Justeru, pelajar baharu yang menerima tajaan perlu membuat aku janji untuk syarat itu dan notis maklumat tentang perkara tersebut akan turut diberikan kepada semua pelajar lama.

“Ini perlu dilakukan kerana Mara bimbang dengan keadaan pelajar Malaysia yang mudah terdedah dengan pelbagai ancaman seperti pengganas Daesh,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa insiden yang menyebabkan 80 terbunuh dan 100 cedera akibat rempuhan seorang pemandu trak semasa pertunjukan bunga api sempena Hari Bastille di bandar French Rivie­ra, Nice, Perancis, semalam tidak melibatkan pelajar tajaan Mara.

“Setakat ini kita masih tidak mene­rima maklumat daripada wakil di sana. Lagipun, lebih 200 pelajar kita di negara itu ditempatkan di selatan Perancis, bukan di kawasan berkenaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Mara akan mengkaji semula syarat penghantaran pelajar ke negara itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan merombak perkara tersebut disebabkan insiden yang berlaku di luar jangkaan.

“Kemalangan seperti ini boleh berlaku di mana-mana, jadi kita tidak akan sewenang-wenangnya merombak penghantaran pelajar ke negara ter­babit,” jelasnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: